Oleh : Aimi Sani / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
TEMBURONG, Rabu, 12 Mac. - Kementerian Kesihatan hari ini mengadakan Majlis Bertadarus Al-Quran (bacaan Juzuk 23) yang diselajurkan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam, Sembahyang Fardu Asar Berjemaah dan penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim sempena bulan Ramadan pada tahun ini.
Majlis yang diadakan di Surau Dhafwatul Ai'sy, Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam (PIHM), Temburong berkenaan dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku tetamu kehormat majlis.
Majlis berkenaan diselajurkan dengan penyampaian sumbangan derma kepada lima anak yatim daripada warga kakitangan Hospital PIHM dan Pejabat Kesihatan, Temburong.
Majlis Bertadarus berkenaan bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara warga Kementerian Kesihatan dengan warga Hospital PIHM, tetapi ia juga untuk memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan nilai-nilai Islam dalam membentuk peribadi yang lebih berdisiplin, ikhlas, dan bertanggungjawab dalam menjalankan amanah serta tugas-tugas yang dijalankan.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; ketua-ketua jabatan, berserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.