Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Mac. - Di Negara Brunei Darussalam, terapi penggantian buah pinggang seperti rawatan dialisis dan pemindahan buah pinggang dapat diakses oleh rakyat secara percuma.
Walau bagaimanapun, tumpuan utama harus diberikan kepada pengesanan awal penyakit buah pinggang. Rawatan yang paling berkesan perlu dilaksanakan pada peringkat awal untuk mencegah perkembangan penyakit buah pinggang dan komplikasi yang berkaitan. Strategi pengesanan awal ini juga boleh mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan kegagalan buah pinggang.
Penyakit buah pinggang, walaupun pada peringkat awal, boleh memberi impak buruk kepada sistem tubuh yang lain, termasuk sistem mental, dan meningkatkan risiko demensia. Di kalangan kanak-kanak, penyakit buah pinggang boleh menjejaskan pertumbuhan serta perkembangan mental, yang seterusnya memberi kesan kepada kualiti hidup dan kesihatan sepanjang hayat.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menyatakan perkara tersebut dalam perutusan sempena Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2025.
Yang Berhormat seterusnya menyatakan, Kementerian Kesihatan, melalui projek jerayawara Jabatan Perkhidmatan Renal yang diadakan setiap tahun sempena Hari Buah Pinggang Sedunia, telah mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit buah pinggang kronik dan komplikasinya. Salah satu langkah utama adalah melaksanakan saringan kesihatan dalam kalangan masyarakat, termasuk ujian air kencing, terutama bagi individu yang berisiko tinggi menghidap penyakit buah pinggang.
Penyakit diabetes dan hipertensi adalah dua faktor risiko utama bagi penyakit buah pinggang, bukan sahaja di Brunei Darussalam, tetapi di seluruh dunia. Di Brunei Darussalam, diabetes terus menjadi penyebab utama bagi penyakit buah pinggang tahap akhir, menyumbang sebanyak 74 peratus daripada keseluruhan kes.
Oleh itu katanya, amat penting untuk memantau tekanan darah dan mengamalkan kawalan gula darah sejak peringkat awal. Selain itu, obesiti juga secara tidak langsung dikaitkan dengan penyakit buah pinggang.
''Saringan kesihatan adalah tidak terhad kepada individu yang menghidapi penyakit diabetes atau hipertensi sahaja, ia juga merangkumi individu yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidapi penyakit buah pinggang, pernah mengalami kecederaan buah pinggang yang akut, berusia lanjut, menghidapi penyakit jantung, mempunyai penyakit buah pinggang berkaitan dengan kehamilan, menghidapi penyakit autoimun, dilahirkan dengan berat badan rendah, dan mempunyai batu karang di buah pinggang.
Kementerian Kesihatan mempraktikkan langkah-langkah pencegahan terhadap penyakit buah pinggang melalui kemajuan terapeutik terkini, termasuk penggunaan ubat-ubatan yang dapat membantu mencegah atau menangguhkan perkembangan penyakit serta mengurangkan komplikasi yang timbul. Rawatan ini juga bertujuan untuk melambatkan kemerosotan fungsi buah pinggang, sekali gus meningkatkan kualiti dan kuantiti hidup bagi mereka yang menghidap penyakit buah pinggang,'' jelas Yang Berhormat.
Yang Berhormat menambah, masyarakat sendiri boleh mengambil langkah proaktif untuk mencegah penyakit buah pinggang dengan melaksanakan perkara-perkara berikut iaitu menjaga pengambilan air yang mencukupi, melakukan senaman atau aktiviti fizikal setiap hari, memantau tekanan darah dan paras gula dalam darah, menghindari penggunaan nikotin, mengelakkan pengambilan ubat penahan sakit atau herba yang boleh merosakkan fungsi buah pinggang, dan menjalani saringan pemeriksaan kesihatan badan.
Penyakit buah pinggang menurutnya, merupakan salah satu penyakit tidak berjangkit yang sering digelar sebagai 'silent killer' kerana ia jarang menunjukkan gejala pada peringkat awal. Ramai beranggapan bahawa penyakit ini hanya menyerang golongan warga tua, sedangkan hakikatnya ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, termasuk anak damit dan remaja.
Oleh itu tegasnya, kesedaran terhadap faktor risiko seperti diabetes, hipertensi, dan obesiti, serta kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat dan mematuhi strategi rawatan yang disarankan, amatlah digalakkan. Langkah-langkah ini terbukti memberikan manfaat yang ketara, terutama apabila dimulakan sejak awal dan dikekalkan secara konsisten.
''Syukur Alhamdulillah, perkhidmatan kesihatan di negara ini dapat diakses oleh semua rakyat dan penduduk. Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyediakan pelbagai rawatan dan ubat-ubatan secara percuma. Rawatan yang ditawarkan merangkumi penggunaan ubat-ubatan tablet dan suntikan baharu yang terbukti berkesan dalam melambatkan perkembangan penyakit buah pinggang kronik. Tambahan pula, pelbagai saringan kesihatan juga dijalankan oleh pelbagai perkhidmatan kesihatan secara percuma,'' ujar Yang Berhormat.
Salah satu inisiatif terkini yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan jelasnya, adalah penggunaan temu janji dan persidangan video ('video conferencing') melalui BruHealth. Inisiatif ini bertujuan untuk memudahkan pesakit berjumpa dengan doktor dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara jarak jauh.
Oleh itu tambahnya lagi, ambillah peluang keemasan ini untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan mengetahui tahap kesihatan awda. Usaha pencegahan serta pengesanan awal penyakit buah pinggang hanya akan berjaya dengan kesedaran, sokongan dan komitmen daripada semua pihak anggota kesihatan, pesakit, serta keluarga mereka. Dengan tindakan yang proaktif dan langkah berjaga-jaga yang diambil secara berterusan, kita dapat bersama-sama membentuk masyarakat yang lebih sihat dan sejahtera. Marilah kita berganding bahu dalam merealisasikan visi negara 'Bersama ke Arah Warga Sihat' demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.