CKD ancaman besar terhadap kesihatan global





Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Mac. - Penyakit buah pinggang kronik (CKD) merupakan ancaman besar terhadap kesihatan global, yang kini menjejaskan lebih daripada 850 juta orang di seluruh dunia. Jika tidak dikesan dan dirawat dengan segera, penyakit ini boleh menyebabkan kerosakan teruk pada buah pinggang, sehingga mencapai peringkat akhir di mana fungsi buah pinggang gagal sepenuhnya.


Dalam keadaan ini, buah pinggang tidak lagi mampu menapis sisa dan cecair dalam badan, yang boleh mengakibatkan komplikasi serius dan meningkatkan risiko kematian pramatang.


Perkara itu telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2025.


Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya menjelaskan, penyakit buah pinggang kronik merupakan penyebab kematian kelapan tertinggi di dunia, menyebabkan lebih daripada 3.1 juta kematian pada tahun 2019. Jika tidak ada tindakan segera, penyakit ini dijangka akan menjadi penyebab kematian kelima utama menjelang tahun 2040.


''Negara Brunei Darussalam merupakan antara negara dengan kadar pesakit buah pinggang peringkat akhir tertinggi di dunia, yang juga dikenali sebagai penyakit kerosakan buah pinggang yang kekal atau 'End Stage Kidney Disease'.


Keadaan ini semakin membimbangkan dengan peningkatan jumlah pesakit buah pinggang peringkat akhir setiap tahun. Pendaftaran Dialisis dan Pemindahan Buah Pinggang Brunei Darussalam merekodkan seramai 1,082 individu menghidapi penyakit buah pinggang peringkat akhir pada tahun 2024, yang mana ia menunjukkan peningkatan sebanyak 6.2 peratus berbanding dengan tahun 2023,'' tegas Yang Berhormat.


Selain itu ujar Yang Berhormat, secara purata, dalam tempoh tiga tahun terakhir (2022 hingga 2024), sebanyak 180 pesakit buah pinggang peringkat akhir dilaporkan meninggal dunia setiap tahun. Penyakit buah pinggang bukan hanya satu masalah perubatan, tetapi juga isu sosial yang memberi kesan kepada keluarga, ekonomi, dan kualiti hidup.


Oleh itu katanya lagi, adalah amat penting untuk kita semua memberi perhatian serius terhadap penjagaan kesihatan buah pinggang kita. Pada tahun ini, kita menyambut Hari Buah Pinggang Sedunia pada 13 Mac 2025 dengan tema 'Adakah Buah Pinggang Awda Sihat? Pengesanan Awal, Melindungi Kesihatan Buah Pinggang'. Ini adalah peluang untuk kita semua meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan buah pinggang serta mengenali tanda-tanda awal penyakit buah pinggang. Melalui pengesanan awal, amalan gaya hidup sihat, dan pengurusan penyakit kronik seperti diabetes dan tekanan darah tinggi, insyaaAllah kita dapat mencegah kesan buruk penyakit ini dan memperbaiki kualiti hidup kita.


Yang Berhormat menekankan pencegahan penyakit buah pinggang dalam konteks perubatan memang melibatkan tiga tahap yang penting iaitu Pencegahan Utama yang mana tahap ini bertujuan untuk mengurangkan risiko penyakit buah pinggang melalui pengurusan masalah kesihatan asas yang boleh menyebabkan penyakit buah pinggang. Langkah-langkah seperti mengawal tekanan darah tinggi, mengurus diabetes, dan mengekalkan berat badan yang sihat memainkan peranan penting dalam mencegah penyakit buah pinggang.


Pencegahan Sekunder ujarnya, yang mana pada tahap ini, pencegahan bertujuan untuk memperlahankan perkembangan penyakit buah pinggang yang telah dikesan, serta mengurangkan risiko komplikasi. Ini termasuk pengurusan yang lebih aktif untuk individu yang telah menunjukkan tanda-tanda awal kerosakan buah pinggang melalui rawatan ubat-ubatan, pemantauan yang ketat, dan perubahan gaya hidup yang sihat.


Pencegahan Tertiari yang mana di peringkat ini katanya, individu yang mengalami kegagalan buah pinggang memerlukan rawatan seperti dialisis atau pemindahan buah pinggang untuk menggantikan fungsi buah pinggang yang rosak. Di samping itu, vaksinasi dan langkah-langkah pencegahan lain diperlukan untuk mengelakkan komplikasi lebih lanjut seperti jangkitan dan penyakit lain yang berkaitan dengan kegagalan buah pinggang. Keberkesanan pencegahan pada setiap tahap bergantung kepada pengesanan awal dan pengurusan yang betul bagi mereka yang berisiko atau sudah mengalami kerosakan buah pinggang.


Close