Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Alishahrin Haji Mumin
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Mac. - Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin pada hari kesepuluh Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, di sini, mengemukakan soalan mengenai perancangan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) untuk menangani isu prestasi mata pelajaran Al-Quran dan Amali Agama yang dirasakan agak membimbangkan terutamanya setelah sistem pengintegrasian diperkenalkan di sekolah-sekolah.
Bagi menjawab persoalan itu, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menerangkan penilaian dan prestasi mata pelajaran Al-Quran dan Amali Tahun 2024 yang mana pelajaran Al-Quran dan Amali Agama merupakan antara komponen dalam mata pelajaran Pendidikan Islam bagi sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta yang terlibat dengan sistem Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama ke dalam Sistem Pendidikan Umum.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menambah, merujuk kepada keputusan penilaian Tahun 2024, Alhamdulillah pencapaian pelajar-pelajar Tahun 2 hingga 5 sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta dalam mata pelajaran Pendidikan Islam secara keseluruhan, adalah sangat menggalakkan iaitu seramai 18,675 daripada 21,838 pelajar iaitu 85.5 peratus telah memperolehi keputusan gred A hingga C.
Berdasarkan keputusan itu, Yang Berhormat menjelaskan, KHEU dan Kementerian Pendidikan melalui Jawatankuasa Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama Ke Dalam Sistem Pendidikan Umum akan terus berusaha meningkatkan lagi kemajuan dan pencapaian pelajar-pelajar ini dari semasa ke semasa.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan mengenai inisiatif-inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan iaitu dengan mengukuh dan meningkatkan lagi pencapaian mata pelajaran Pendidikan Islam termasuk pelajaran Al-Quran dan Amali Ugama, beberapa inisiatif telah dan sedang dilaksanakan seperti Latihan Profesional Guru Ugama : Program seperti Pemantapan Pedagogi, Bengkel Pengajaran Kitab Iqra', dan Kursus Pendidikan Khas telah dilaksanakan untuk meningkatkan kemahiran guru.
Di samping itu katanya, Pengemaskinian Kurikulum Pendidikan Islam : Kurikulum Pendidikan Islam dikemas kini untuk memenuhi keperluan negara, selaras dengan ajaran Ahli Sunnah Waljamaah dan Mazhab Syafie, melibatkan pakar pendidikan dan guru-guru; dan Program Sokongan Pelajar: Program seperti Sembahyang Fardu Zuhur Berjemaah, Bimbingan Shalat, Bilal dan Imam Cilik, serta kelas Al-Quran di masjid dan surau untuk mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran pelajar.
Dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut, dihasratkan akan dapat terus memperkasa dan meningkatkan lagi pencapaian dan kemajuan pelajar dalam Pendidikan Islam khususnya kemahiran pembacaan Al-Quran dan Amali Ugama dan usaha ini diperkukuhkan lagi dengan pemantauan berterusan serta kerjasama padu semua pihak berkenaan di Kementerian Pendidikan dan KHEU melalui jawatankuasa yang telah ditubuhkan.