Pelbagai program dilaksanakan bagi meningkatkan kompetensi pegawai masjid



​​


Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Alishahrin Haji Mumin





 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Mac. - Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) secara berterusan melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan kompetensi pegawai masjid, termasuk taklimat dan bengkel berterusan mengenai peraturan kewangan dengan kerjasama Unit Kewangan Tabung Masjid, Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah, dan Audit Dalaman Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU). Pegawai masjid baharu juga diberikan taklimat sebelum diaturkan bertugas di masjid-masjid.


Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berkata demikian bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin mengenai perancangan KHEU untuk memastikan imam dan bilal dilengkapkan dengan pengetahuan mengenai Peraturan Kewangan; kemampuan untuk berinteraksi secara efektif dengan jemaah; dan kemahiran asas pertolongan cemas.


Pada hari kesepuluh Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, di sini, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama seterusnya menerangkan, bagi Bengkel Pertolongan Cemas telah dilaksanakan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Daerah Temburong pada 24 September 2022 hingga 1 Oktober 2022 dengan kerjasama Syarikat Makan Ceria Sdn. Bhd. yang dikendalikan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei. Usaha seumpama ini akan dilaksanakan di dearah-daerah lain.


Manakala bagi mengadakan bengkel 'Fire Marshal' dengan kerjasama HSSE, KHEU dan Jabatan Bomba dan Penyelamat. Bengkel tersebut diadakan di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah dan di Balai Bomba dan Penyelamat Airport Lama pada tahun 2023 dan 2024.


Jelas Yang Berhormat lagi, latihan penyampaian ceramah berkesan secara berterusan dilaksanakan oleh Bahagian Bimbingan dan Latihan JHEM dan bahagian berkenaan mengaturkan pegawai-pegawai masjid untuk mengikuti latihan 'in-house training' kendalian Institut Perkhidmatan Awam dan Bahagian Sumber Manusia, KHEU seperti Bengkel Kepimpinan, kursus mengendalikan mesyuarat, penyampaian cemerlang dan lain-lain.


Menjalin kerjasama bersama pihak Radio Televisyen Brunei (RTB), dalam mengaturkan pegawai masjid yang berpotensi bagi diberikan pendedahan untuk menyampaikan ceramah, forum dan tazkirah. Bahagian Bimbingan dan Latihan memberikan bimbingan berterusan kepada pegawai-pegawai masjid untuk meningkatkan kompetensi dan kredibiliti pegawai-pegawai masjid.


Untuk langkah ke hadapan, terang Yang Berhormat, JHEM merancang program-program kerjasama dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dalam mewujudkan program-program 'upskilling' dan peningkatan kompetensi pegawai-pegawai masjid.


Close