Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Alishahrin Haji Mumin
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Mac. - Pada 10 Disember 2024, satu sesi perbincangan mengenai Kursus Haji dan Umrah telah diadakan di Dewan Tarbiah, yang dipengerusikan oleh Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).
Sesi tersebut melibatkan 40 pegawai dari 26 syarikat operator Haji dan Umrah berdaftar di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan tujuan perbincangan adalah untuk menyampaikan hasrat KUPU SB untuk menjadi pusat penyedia khidmat kursus Haji dan Umrah.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman mengongsikan perkara tersebut pada hari kesepuluh Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, di sini bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin berkenaan dengan dasar yang perlu diperkenalkan untuk memastikan graduan tempatan berkelulusan agama dan berpengetahuan Bahasa Arab yang belum dimanfaatkan sepenuhnya untuk dilatih dan diiktiraf sebagai mutawif dan pengiring memandangkan industri Haji dan Umrah Brunei semakin berkembang dan juga mengenai dasar bagi mewajibkan ejen dan pelancongan menggunakan perkhidmatan terlatih dan bertauliah.
Jelas Yang Berhormat, pihak syarikat-syarikat operator menyambut baik cadangan ini bagi memastikan kesempurnaan Manasik Haji dan Umrah untuk Jemaah Brunei. Justeru itu, katanya, sebagai langkah lanjut, KUPU SB sedang dalam proses menyediakan kurikulum yang bersesuaian dan menyusun struktur program baharu yang dinamakan Program Sijil Latihan Profesional Haji dan Umrah.
KUPU SB, tambah Yang Berhormat, akan memastikan program ini diiktiraf oleh Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK). Ia akan menjadi Sijil Nilai Tambah ('Value-Added Qualification') kepada kelulusan-kelulusan sedia ada di KUPU SB selain mendapat kelulusan dari pihak Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) sebagai Sijil Tauliah.
Program berkenaan, jelas Yang Berhormat, dijangka ditawarkan pada Semester 1, Sesi Akademik 2025/2026, dengan sasaran pelajar terdiri daripada graduan KUPU SB dan orang ramai yang memenuhi syarat.
''Perlu dijelaskan, program ini tidak bertujuan untuk melahirkan mutawif atau mutawifah yang menguruskan logistik jemaah seperti mengatur perjalanan, penginapan, mengurus visa pasport atau memantau pergerakan.
Program ini bertujuan untuk melahirkan Pegawai Pengiring Haji dan Umrah Bertauliah yang akan membimbing jemaah di Tanah Suci agar mereka dapat menyempurnakan ibadat dengan sempurna selain membuka peluang pekerjaan kepada graduan-graduan lepasan universiti,'' ujar Yang Berhormat menjelaskan.
Yang Berhormat menambah, selain itu, bagi mengajar agama di negara ini, seseorang perlu memperoleh tauliah dari MUIB, dan graduan program ini boleh memohon tauliah serta bekerja dengan syarikat pengendali perkhidmatan pakej haji dan umrah.