18 pelajar PB lanjut pengajian di Lanzhou




Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sdn. Bhd.





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 4 Mac. - Seramai 18 pelajar Program Diploma Kejuruteraan Kimia Politeknik Brunei (PB) telah berlepas ke Lanzhou, Republik Rakyat China sebagai sebahagian daripada program kerjasama antara Hengyi Industries Sdn. Bhd. dan PB untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Vokasional Petrokimia Lanzhou (LPUVT).


Pencapaian ini berikutan pemeteraian perjanjian Penajaan dan Tawaran Pekerjaan Bersyarat (CoE) baru-baru ini di bawah Program Kerjasama Bersama Hengyi Industries - PB - LPUVT pada 25 Februari 2025.


Di bawah perjanjian tersebut, Hengyi Industries akan menyediakan penajaan penuh untuk pengajian pelajar di luar negara, membolehkan mereka memperoleh pengetahuan akademik yang berharga dalam industri petrokimia.


Selepas itu, mereka akan menamatkan semester akhir mereka dengan Hengyi Industries di Pulau Muara Besar, di mana mereka akan melibatkan diri dalam pembelajaran berasaskan industri, memberikan mereka pengalaman praktikal yang berharga.


Ditubuhkan pada Mac 2021, Program Kerjasama Bersama bertujuan untuk memupuk profesional masa depan dalam sektor petrokimia dengan menyediakan pelajar dengan kemahiran praktikal dan pengetahuan yang berkaitan dengan industri. Sehingga kini, seramai 490 pelajar telah dianugerahkan CoE.



Salah seorang pelajar yang berlepas ke Lanzhou, Awang Mohammad Afif @Mohammad Afi Fakhrullah bin Ahmad Aidawardy melahirkan rasa syukur atas peluang yang diberikan dan berkongsi pendapatnya tentang perjalanannya yang akan datang.


“Ia akan membolehkan saya mengalami persekitaran akademik baharu yang jauh daripada keluarga dan rumah saya. Saya tidak sabar untuk mengalami suasana akademik di Lanzhou, belajar daripada profesor pakar dan melibatkan diri dengan pelajar dari negara yang berbeza.


“Saya juga tidak sabar-sabar untuk menerokai bandar, mencuba masakan tempatan dan mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang budaya China," tambahnya.

Turut mengongsikan kegembiraannya ialah Awang Mohammad Daniel Hariz bin Haji Shahwardy, yang antara lain berkata bahawa peluang ini adalah pengalaman pembelajaran sekali seumur hidup yang akan memberi manfaat kepada saya di masa hadapan.


“Saya juga ingin tahu dan teruja untuk mempelajari modul yang diajar di LPUVT. Memandangkan Lanzhou terkenal dengan budaya dan sejarahnya yang kaya, saya sangat tidak sabar untuk melawat tempat bersejarahnya dan mencuba pelbagai jenis hidangan tempatannya," ujarnya lagi.


Sementara Dayang Nur Asyura binti Haji Murdy melahirkan keterujaan dengan menyatakan bahawa beliau tidak sabar untuk mempelajari perkara baharu seperti perbezaan budaya antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China.


“Suasana sekeliling dan melangkah keluar dari zon selesa saya, di mana saya boleh belajar berdikari. Ini akan membantu saya berkembang dan menemui kemahiran baharu dalam diri sendiri dan dalam bidang pengajian saya," jelasnya lagi.


Close