Oleh: Khartini Hamir / Foto: Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 19 Februari. - Pusingan kedua Startup673 Hackathon Kebangsaan yang berlangsung selama 15 hari melabuh tirai dengan Majlis Penutup yang diadakan di Tarindak D'Seni, di sini.
Pusingan kali ini memfokuskan kepada inovasi dan kerjasama menyaksikan 57 peserta berbakat yang merangkumi 11 pasukan dinamik, berhimpun dalam misi untuk menangani cabaran industri menerusi penyelesaian inovatif.
Majlis disempurnakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.
Juga hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di MTIC, Awang Haji Hairul Mohd. Daud bin Haji Abdul Karim, serta pegawai-pegawai dari Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), Shell LiveWIRE Brunei, Brunei Innovation Lab, dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI).
Selepas kejayaan acara sulungnya, Hackathon Kebangsaan terus memupuk persekitaran yang dinamik di mana kreativiti dan kerja berpasukan berkembang pesat. Ini jelas terbukti apabila para peserta giat menjalankan sesi percambahan idea, penyelesaian masalah, dan pembangunan produk.
Dk. Nur Aziemah selaku penyelaras utama hackathon, memuji dedikasi dan kepintaran para peserta dan menurut beliau pada tahun ini, acara ini menyaksikan minda-minda cemerlang bersatu dengan visi unik dan matlamat yang sama iaitu menyelesaikan cabaran dunia sebenar melalui kreativiti dan kerjasama. Tenaga, semangat, dan ketekunan yang ditunjukkan oleh semua peserta benar-benar memberi inspirasi. Mereka bukan sahaja menerima cabaran yang diberikan, tetapi juga melangkaui batasan dengan mengubah idea berani menjadi penyelesaian yang nyata.
Majlis ini turut menyaksikan penyampaian Pembiayaan Permulaan kepada pasukan terbaik yang berjaya memikat hati para juri dengan kreativiti dan daya maju mereka.
Pembiayaan permulaan diberikan kepada 'Seri Hub', sebuah pasaran dalam talian yang memastikan penetapan harga yang adil dan mempromosikan kelestarian makanan.
Manakala tawaran pembiayaan bersyarat diberikan kepada 'Good Vibes', aplikasi berasaskan komuniti yang direka untuk meningkatkan kesedaran mengenai penipuan semasa dengan penggunaan AI dan elemen gamifikasi.
Anugerah 'MVP' pula diberikan kepada Qoyyum dari 'Q. Branch' sebagai pengiktirafan atas usaha beliau dalam menyelesaikan prototaip berfungsi bagi aplikasi pencocokan perniagaan yang memfokuskan kepada pemeteraian perjanjian.
Kejayaan pusingan kedua ini menandakan satu lagi pencapaian dalam misi Startup673 untuk memupuk pemimpin dan inovator masa depan dalam ekosistem startups tempatan.
Dengan Fasa 1 kini selesai, para peserta akan menumpukan perhatian kepada Fasa 2, di mana mereka akan memperhalusi lagi penyelesaian mereka dan bersedia untuk penembusan pasaran.
Startup673 kekal komited dalam memupuk inovasi dan kerjasama, dan National Hackathon terus menjadi tunjang utama dalam merealisasikan visi ini.
Startup673 adalah hasil kerjasama antara BEDB, Shell LiveWIRE Brunei, Brunei Innovation Lab, dan AITI dalam usaha membina serta mengukuhkan ekosistem startups di Brunei.
Untuk maklumat lanjut mengenai National Hackathon dan acara yang akan datang, sila layari @startup673.bn di Instagram atau hubungi Mizie +673 8848 266.