Bendera besar berkibar megah di ibu negara



​​​

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Muhammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Februari. - Bendera besar berkibar selamat dinaikkan di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), di ibu negara hari ini menandakan bermulanya Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan (HK) Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-41, Tahun 2025.


Hadir selaku tetamu kehormat pada upacara tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun HK NBD Ke-41, Tahun 2025.


Turut hadir, Timbalan-timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun HK NBD Ke-41, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai daerah dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun HK NBD Ke-41, Tahun 2025 serta ahli-ahli jawatankuasa lain.


Upacara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pegawai Masjid, Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Begawan Mudim Awang Haji Amran bin Haji Mohd. Salleh.


Majlis seterusnya menyaksikan anggota-anggota Pasukan Tentera Laut Diraja Brunei dan Pasukan Pembawa Bendera Benteng yang terdiri dari Pasukan Kadet Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kadet Polis Diraja Brunei, Kadet Bomba dan Penyelamat serta Alumni Program Khidmat Bakti Negara bergerak masuk bagi penyerahan dan penerimaan Bendera Besar NBD daripada tetamu kehormat.


Penyempurnaan menaikkan Bendera Besar NBD telah disemarakkan dengan iringan Lagu Kebangsaan NBD 'Allah Peliharakan Sultan' oleh kumpulan koir terdiri daripada penuntut dari Sekolah Seri Mulia Sarjana serta diiringi oleh Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei.


Majlis itu juga dimeriahkan dengan persembahan dua buah Lagu Patriotik 'Berkibarlah Bendera' dan 'Bersatu Mencapai Cita Negara' bersama kibaran bendera kecil oleh seramai 100 penuntut dari Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan, Persekutuan Pengakap NBD dan Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD).


Majlis telah disempurnakan dengan penyampaian bendera-bendera negara bersaiz sederhana dan poster-poster sempena Sambutan Ulang Tahun HK NBD Ke-41, Tahun 2025 kepada pegawai-pegawai daerah bagi keempat-empat daerah.


Berkibarnya bendera besar negara, seluruh rakyat dan penduduk di negara ini adalah diseru untuk sama-sama mengibarkan bendera bagi memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun HK NBD Ke-41, Tahun 2025 di rumah-rumah kediaman masing-masing dan bangunan-bangunan pejabat dan perniagaan serta pemasangan dan penyalaan lampu-lampu cucul di bangunan-bangunan kerajaan dan sektor swasta mulai hari ini Sabtu, 15 Februari 2025 hingga 25 Februari 2025.


Pengiran-pengiran akan mengibarkan bendera peribadi, manakala orang-orang yang dikurniakan gelaran akan mengibarkan bendera masing-masing dan bagi orang ramai pula hendaklah mengibarkan Bendera NBD.


Setiap bendera yang dikibarkan hendaklah mengikut peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan dengan memastikan bendera tersebut dalam keadaan baik, tidak pudar warnanya dan tidak koyak.


Close