15 pelajar UBD lanjut pengajian di ZJU




Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries






BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Februari. - Seramai 15 pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD) di bawah Program Biasiswa Bersama antara Hengyi Industries, UBD dan Universiti Zhejiang (ZJU) telah berlepas ke Hangzhou, China, di mana mereka akan meneruskan perjalanan akademik mereka di ZJU.


Para pelajar yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Kimia dan Proses, telah dianugerahkan biasiswa secara rasmi pada 6 Februari yang lalu, menjadikan mereka kumpulan ke-12 di bawah program ini.


Sebagai sebahagian daripada biasiswa tersebut, mereka akan menjalani satu tahun lima bulan pengajian yang dibiayai sepenuhnya di ZJU, di mana mereka akan berpeluang memperoleh pengetahuan lanjutan, latihan khusus dan pendedahan antarabangsa dalam bidang mereka.


Selepas menamatkan pengajian mereka di China nanti, para pelajar akan kembali ke Negara Brunei Darussalam untuk melengkapkan tahun akademik terakhir mereka di UBD sebelum menjalani latihan penempatan kerja selama enam bulan di Hengyi Industries.


Graduan program ini juga akan berpeluang bekerja sepenuh masa dengan Hengyi Industries. Awang Mohammad Azeerul Faizz menyatakan semangatnya tentang peluang untuk belajar di luar negara di ZJU.


“Saya berbesar hati dan teruja untuk berpeluang menyambung pengajian di ZJU. Ini adalah peluang yang baik untuk saya belajar daripada pakar industri, bekerja dengan teknologi termaju dan mendapatkan pengalaman langsung dalam persekitaran yang inovatif.


“Saya juga tidak sabar untuk merasai sendiri budaya Cina dan membina hubungan bermakna dengan pelajar dan profesional di sana. Pengalaman ini akan membantu saya berkembang dalam kerjaya masa depan saya dan sebagai seorang individu," ujarnya.


Amni Syazwani turut berkongsi kegembiraannya dengan menyatakan ini merupakan peluang yang luar biasa. “Saya tidak sabar-sabar untuk menyelami budaya dan sejarah indah China. Saya percaya peluang ini akan memberi impak yang besar dalam membentuk perjalanan akademik dan kerjaya masa depan saya," jelasnya.


Sementara Goh Jia Sheng menyatakan penghargaannya atas peluang itu dan berharap dapat melibatkan diri dalam persekitaran akademik yang meriah, mengambil bahagian dalam penyelidikan, dan memperoleh perspektif global.


Peluang ini juga menurutnya akan membolehkan beliau mengalami budaya Hangzhou yang kaya melalui interaksi dengan pelbagai cendekiawan dan membantu berkembang menjadi individu yang serba lengkap.


Close