Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sdn. Bhd.
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Februari. - Hengyi Industries Sdn. Bhd. (Hengyi Industries) hari ini telah menganugerahkan biasiswa kepada 15 pelajar di bawah Program Biasiswa Bersama inisiatif kerjasama antara Hengyi Industries, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Zhejiang (ZJU).
Majlis Penandatanganan Biasiswa tersebut disaksikan oleh tetamu kehormat, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah.
Turut hadir, Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle dan pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam, JPM dan Kementerian Pendidikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, Xu Ye. Semasa majlis tersebut, Yang Mulia Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM dan Xu Ye telah menyaksikan para pelajar UBD menandatangani perjanjian biasiswa.
Acara diteruskan dengan lawatan ke Hengyi Industries, memberikan para pelajar melihat secara langsung operasi syarikat, sebelum diakhiri dengan sesi bergambar berkumpulan.
Majlis tersebut menandakan kumpulan ke-12 pelajar UBD mengikuti Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dan Proses untuk dianugerahkan biasiswa di bawah Program Biasiswa Bersama di mana ia merupakan satu inisiatif di bawah Hengyi Future-Ready yang bertujuan untuk melengkapkan belia tempatan dengan kemahiran dan peluang untuk menjadi generasi jurutera berkemahiran tinggi.
Sebagai sebahagian daripada program itu, para pelajar akan melanjutkan pengajian mereka di ZJU di Hangzhou, China selama satu tahun lima bulan, yang akan dibiayai oleh biasiswa.
Sebelum ini, para sarjana ini telah berjaya menamatkan pengajian akademik selama satu tahun lima bulan di UBD. Sekembalinya, mereka akan melengkapkan tahun terakhir mereka di UBD sebelum menjalani latihan 'internship' selama enam bulan dengan Hengyi Industries.
Hengyi Industries akan menawarkan pelajar di bawah program ini peluang untuk bekerja sepenuh masa selepas tamat pengajian mereka. Sejak ditubuhkan pada Mac 2014, program biasiswa itu telah menganugerahkan sebanyak 202 biasiswa kepada pelajar UBD. Sehingga kini, 112 orang sarjana telah menamatkan pengajian mereka dan kini bekerja di Hengyi Industries.
Melalui program ini, Hengyi Industries kekal komited untuk memupuk bakat tempatan dan menyumbang kepada visi negara untuk membangunkan individu yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya di bawah Wawasan Brunei 2035.