Memupuk kemahiran literasi digital warga emas



​​


Siaran Akhbar dan Foto : Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam





BELAIT, Selasa, 4 Februari. – Digital Brunei berjaya mengendalikan Sesi Jangkauan Komuniti Ke-5, menandakan satu lagi kejayaan dalam usaha berterusannya untuk memupuk kemahiran literasi digital dan kesedaran dalam kalangan warga emas di Negara Brunei Darussalam (NBD).


Majlis diadakan di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, Kuala Belait, dengan kerjasama Pejabat Daerah Belait dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) melalui Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE).


Lebih 40 peserta menghadiri majlis tersebut yang terdiri daripada ahli PKWE, Ketua Kampung dan ahli Majlis Perundingan Kampung.


Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat.


Sesi pertama bermula dengan pembentangan daripada Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) mengenai pendaftaran semula prabayar mudah alih, diikuti oleh wakil daripada tiga penyedia perkhidmatan telekomunikasi – Datastream Digital Sdn. Bhd.; Imagine Sdn. Bhd. dan Progresif Sdn. Bhd. – di mana mereka menghuraikan lebih lanjut mengenai proses untuk mendaftar semula talian prabayar mudah alih pelanggan mereka.


Manakala sesi kedua menampilkan pembentangan daripada Cyber Security Brunei (CSB) yang mengetengahkan langkah - langkah keselamatan untuk mengelakkan penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) untuk penipuan, pembentangan dari Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengenai statistik jenayah siber dan kajian kes, dan diakhiri dengan pembentangan daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan demonstrasi aplikasi Mushaf Brunei mereka, aplikasi mudah alih yang membolehkan umat Islam mengakses Al-Quran dengan mudah pada peranti mudah alih.


Sesi maklumat tersebut dihasrat dapat memberikan pengetahuan dan panduan praktikal untuk menavigasi landskap digital, dengan penekanan terhadap kepentingan keselamatan dalam era transformasi digital.


Lebih banyak program jangkauan komuniti akan dianjurkan pada masa hadapan sebagai usaha ke arah merapatkan jurang digital dan memupuk rangkuman digital di seluruh negara.


Digital Brunei merupakan inisiatif Majlis Ekonomi Digital, yang difasilitasi oleh AITI dengan matlamat untuk memperkasakan masyarakat melalui teknologi digital dalam usaha mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif secara digital.


Inisiatif itu juga bertujuan untuk mewujudkan NBD sebagai sebuah negara yang memupuk inovasi dan teknologi digital, dengan meningkatkan kesedaran tentang inisiatif pendigitalan negara.


Digital Brunei komited untuk menyelaraskan objektifnya, dalam mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 dan menyokong Pelan Induk Ekonomi Digital 2025.


Untuk maklumat terkini mengenai inisiatif Digital Brunei, ikuti laman media sosial Instagram, Facebook dan LinkedIn di @digitalbrunei.


Close