Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
JERUDONG, Selasa, 4 Februari. - Dalam usaha untuk membarigakan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan dan dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik pagi tadi mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Tagap dan Kampung Selayun, Mukim Sengkurong bertempat di kediaman Pemangku Ketua Kampung Tagap dan Kampung Selayun, Awang Haji Abdul Latif bin Haji Tengah.
Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan, Pemangku Ketua Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, Dayang Saadiatul Nur Aqilah binti Haji Jaman.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, yang juga Ketua Kampung Putat, Daerah Brunei dan Muara; dan Penghulu Mukim Sengkurong, Dr. Awang Haji Abdullah Hanif bin Orang Kaya Maharaja Dinda Haji Saman.
Program diisikan dengan penyampaian maklumat kepada para penduduk kampung mengenai penjimatan tenaga dari Jabatan Tenaga, JPM; dan penggunaan sistem meter baharu dari Unified Smart Metering System (USMS) Sendirian Berhad serta kaedah agihan zakat dari Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal.
Program dimulakan dengan mukadimah daripada ketua rombongan yang antara lain menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa juga maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan yang antara lain ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.
Salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan, iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasrat untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan - rakyat dan rakyat - kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.
Program Sua Muka turut diisikan dengan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang antara lain berkaitan dengan prasarana, kesejahteraan dan kemudahan awam serta hal-hal lain.