Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Selasa, 4 Februari. - Brunei Freight Forwarders Association (BRUFA) dan Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan (COSMO) hari ini melancarkan Pensijilan Tahap 3 City & Guilds dalam operasi logistik bertempat di Dewan COSMO, Berakas, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.
Pensijilan Tahap 3 City & Guilds dalam operasi logistik merupakan kelayakan yang diiktiraf secara antarabangsa yang melengkapi individu dengan kemahiran praktikal dan pengetahuan yang penting untuk kejayaan dalam industri logistik dan rantaian bekalan.
Ir. Awang Haji Mohammad Nazri dalam ucapannya berkata kursus yang dibangunkan dengan usaha kerjasama antara COSMO dan BRUFA, disesuaikan untuk memenuhi keperluan khusus sektor logistik dan pengangkutan di Negara Brunei Darussalam (NBD).
"Ia membekalkan pelajar dengan pengetahuan asas dan kemahiran praktikal dari pengurusan rantaian bekalan hingga operasi pengangkutan, mempersiapkan mereka untuk kerjaya dalam salah satu industri yang paling dinamik dan kritikal.
"Tahniah atas pelancaran kursus baharu ini dan dedikasi awda terhadap kecemerlangan dalam pendidikan amat jelas dan saya yakin program ini akan memberi sumbangan besar kepada perkembangan profesional pelajar dan kemajuan industri logistik di NBD," jelasnya lagi.
Pelancaran berkenaan diikuti dengan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara COSMO dan BRUFA.
Menandatangani bagi mewakili pihak COSMO ialah Pengerusi COSMO, Dr. Haji Abdul Aziz bin Haji Abd. Latip, manakala BRUFA pula diwakili oleh Presiden BRUFA, Thomas Koh.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh tokoh-tokoh penting terdiri daripada industri logistik, termasuk CEO, COO, pengurus besar dan pemimpin perniagaan daripada pelbagai sektor di NBD.
Kerjasama berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja tempatan dalam sektor logistik, yang merupakan tiang penting dalam ekonomi NBD.