Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 4 Februari. – Persidangan Antarabangsa Kewangan Islam dan Kelestarian 2025 (International Conference on Islamic Finance and Sustainability 2025 – ICIFS 2025) berfungsi sebagai platform utama untuk perbincangan mendalam mengenai pengintegrasian teknologi terkini, seperti blockchain dan kecerdasan buatan (AI), dengan perkhidmatan kewangan Islam untuk meningkatkan ketelusan dan keterangkuman.
Di samping itu, ia juga akan meneroka instrumen kewangan Islam yang inovatif, termasuk sukuk bagi pembiayaan tenaga boleh diperbaharui dan peranan mikro-kewangan Islam dalam memberdayakan komuniti yang kurang bernasib baik secara ekonomi.
Dianjurkan oleh Universiti Brunei Darussalam (UBD), Majlis Pembukaan ICIFS 2025 diadakan bertempat di Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).
Persidangan dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap (Wawasan) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad selaku wakil kepada tetamu kehormat, Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Dengan tema 'Peranan Kewangan Islam dalam Mencapai Matlamat Pembangunan Lestari', ICIFS 2025 bermatlamat untuk meneroka peranan penting yang dimainkan oleh prinsip kewangan Islam dalam usaha kelestarian global.
Pengiran Hajah Siti Nirmala dalam ucaptama menekankan bahawa, kewangan Islam yang berasaskan prinsip etika dan keadilan, memberikan penyelesaian yang unik kepada cabaran global yang mendesak seperti ketidaksamaan ekonomi, perubahan iklim, dan ketidakadilan sosial.
Menyoroti kepentingan kewangan Islam, beliau mengambil maklum akan perkembangan globalnya, dengan aset melebihi USD 3 trilion, dan penyelarasan kritikalnya dengan Wawasan Brunei 2035.
"Kewangan Islam bukan sahaja merupakan asas kepada strategi kewangan negara tetapi juga merupakan penyokong utama amalan ekonomi lestari yang menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang dan pemeliharaan alam sekitar," tambahnya.
Sementara itu, Professor of Finance, University of New Orleans, Profesor Dr. Mohammad Kabir Hassan dalam ucapannya menekankan daya tahan adaptif dan potensi luas kewangan Islam dalam menghadapi ketidakpastian ekonomi global.
"Produk kewangan Islam, yang direka untuk mempromosikan pembangunan lestari, adalah penting untuk memupuk kestabilan ekonomi, keadilan sosial, dan perlindungan alam sekitar," ujarnya.
Persidangan tiga hari itu juga menampilkan dua sesi panel yang menumpukan kepada bidang-bidang utama yang membentuk masa depan kewangan Islam.
Sesi hari ini iaitu 'Membentuk Masa Depan Kewangan Islam: Inovasi dan Kelestarian dalam Amalan' telah menyatukan pakar-pakar untuk membincangkan aplikasi praktikal inovasi dan kelestarian dalam industri tersebut.
Manakala sesi seterusnya, 'Memajukan Penyelidikan Kewangan Islam: Menyelaraskan Teori dengan Amalan untuk Kelestarian', akan meneroka pautan kritikal antara penyelidikan akademik dan aplikasi industri di dunia nyata.
Satu lagi sorotan penting persidangan tersebut ialah pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pihak berkepentingan utama, yang melambangkan komitmen bersama untuk memajukan kelestarian dan inovasi dalam kewangan Islam.
Perjanjian itu nanti akan berfungsi sebagai pemangkin untuk usaha kerjasama yang signifikan antara UBD; Sekolah Perdagangan dan Ekonomi, Universiti Brunei Darussalam (Universiti Brunei Darussalam, School of Business and Economics - UBDSBE); dan rakan-rakan kongsi yang lain.
Perkongsian rasmi telah ditubuhkan bersama Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), UN Global Compact Malaysia dan Brunei, serta Ozean.
ICIFS 2025 merupakan forum penting bagi pakar akademik terkemuka, profesional industri, dan penggubal dasar dalam memudahkan kolaboratif untuk merangka penyelesaian inovatif dan strategi berwawasan bagi masa depan kewangan yang lestari.