Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 4 Februari. - Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) mengadakan Sesi Muzakarah bersama Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang dihadiri oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Seramai 18 Ahli MMN yang diketuai oleh Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, hadir pada Sesi Muzakarah berkenaan yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, di sini.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap, KSSUP, Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; Timbalan Setiausaha Tetap I, KSSUP, Awang Haji Mohammad Yusree bin Haji Junaidi; Timbalan Setiausaha Tetap II, KSSUP, Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim; pengarah-pengarah jabatan dan ketua-ketua bahagian serta pegawai-pegawai kanan kementerian berkenaan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Sesi Muzakarah dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, yang antara lain mengongsikan mengenai dengan hala tuju strategik dan fokus utama dalam meningkatkan keluaran industri sumber-sumber utama dan pelancongan serta pencapaian dan sasaran keluaran sektor KSSUP.
Yang Berhormat juga menyatakan bahawa KSSUP menyedari akan cabaran untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dan mencapai pertumbuhan yang mampan bagi sektor-sektor utama, iaitu pertanian, perikanan dan perhutanan serta pelancongan, dengan mengambil kira perubahan trend ekonomi global yang memerlukan kerjasama semua pihak secara kolektif untuk menghadapi cabaran semasa.
Sesi Muzakarah diteruskan dengan taklimat mengenai pencapaian, perkembangan dan hala tuju sektor sumber-sumber utama dan pelancongan bagi 2024 yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap, KSSUP, diikuti dengan sesi perbincangan dan soal jawab.
Dayang Hajah Tutiaty mengongsikan mengenai fokus utama kementerian bagi mendukung pertumbuhan dan peningkatan keluaran sektor makanan. Beberapa program dan projek giat dilaksanakan ke arah meningkatkan keluaran produk makanan yang berkualiti, halal dan selamat daripada sektor makanan bagi industri primer seperti keluaran hasil industri ternakan, industri tanaman, industri penangkapan ikan, industri akuakultur serta keluaran daripada aktiviti - aktiviti industri pemprosesan dan nilai tambah berasaskan pertanian dan perikanan.
Pencapaian 2024 juga memfokuskan kepada pensejajaran Peta Jalan Industri Makanan dengan mengukuhkan ekosistem rangkaian nilai (value chain) industri sektor makanan yang mempunyai impak yang berkesan untuk menyumbang secara signifikan kepada peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), sekuriti makanan dan juga kepada pertumbuhan jumlah dan nilai eksport negara.
Walaupun pada 2024, industri makanan menghadapi cabaran tersendiri, khususnya dalam sektor perikanan. Namun, dalam setiap cabaran, terdapat peluang baharu yang boleh diterokai.
KSSUP masih dapat menembusi pasaran eksport berikutan daripada kejayaan rintis pengeksportan beberapa komoditi yang terus diungkayahkan sebelum ini. Ini termasuklah peningkatan jumlah eksport telur ayam dan pengeksportan produk-produk berproses yang termasuk produk - produk berasaskan daging ke Republik Singapura. Beberapa produk berproses juga berjaya menembusi pasaran eksport ke Sabah dan Sarawak tahun lepas.
Pihak kementerian melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan juga memperkenalkan beberapa inisiatif sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap pertanian yang lestari, iaitu pertanian regeneratif (Regeneratif Agriculture) dan pertanian bebas racun (Brunei Pesticide Free).
Pendekatan yang menekankan penggunaan kompos dan baja organik serta penggunaan bahan-bahan semula jadi dalam pengurusan tanaman dan kawalan perosak tanaman adalah bagi mendukung 'Food Industry Roadmap' dalam mengalakkan circular economy bagi mengurangkan kesan negatif ke atas alam sekitar.
KSSUP juga mendukung usaha kemajuan dan pembangunan industri pelancongan di negara ini dan pada 2024, jumlah pelancong dari luar negara menunjukkan peningkatan yang ketara dengan rekod melebihi 92 peratus peningkatan dari 2023 yang mencerminkan kejayaan inisiatif yang dirancang oleh kementerian berkenaan melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan.
Inisiatif dan projek yang diungkayahkan seperti pembangunan produk - produk pelancongan (niche product) fokus kepada pelancongan berteraskan kebudayaan dan semula jadi, penaiktarafan infrastrukur dan perkhidmatan pelancongan, program dukungan pengukuhan pasaran dan promosi dengan memperkenalkan pakej pelancongan di luar negara juga dilaksanakan untuk menarik lebih banyak pelancong memilih Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai salah satu destinasi pelancongan.
Ejen-ejen pelancongan dan penyedia perkhidmatan pelancongan turut menyertai pameran pelancongan antarabangsa, mengadakan sesi networking bersama ejen pelancongan luar negara dan menjemput ejen pelancongan dan influencer bagi lawatan suai kenal ke negara ini. Di samping itu juga, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa negara dan agensi telah dimeterai dalam bidang pelancongan.
Pihak kementerian melalui Jabatan Perhutanan juga akan terus memastikan agar usaha-usaha dalam membangun, melindungi serta memulihara sumber hutan negara akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan aktiviti-aktiviti pembangunan negara adalah selaras dengan prinsip pembangunan yang mampan (sustainable development).
Dalam memenuhi komitmen kementerian melalui Jabatan Perhutanan untuk penyelarasan di bawah Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan NBD, setakat ini, inisiatif penanaman anak-anak pokok telah mencapai 37 peratus daripada sasaran 500,000 penanaman anak pokok menjelang 2035.
KSSUP juga memperkenalkan logo 'Brunei Wood' untuk meningkatkan penjenamaan dan pasaran produk perkayuan tempatan. Penggunaan logo berkenaan ke atas produk-produk perkayuan tempatan bagi mengesahkan produk tersebut adalah buatan tempatan yang telah diiktiraf berkualiti tinggi serta menggunakan bahan kayu yang dibekalkan dari sumber hutan yang mampan (sustainable), dan inisiatif berkenaan diharap akan meningkatkan lagi permintaan tempatan dan luar negeri kepada produk kayu NBD.
Dalam usaha KSSUP ke arah mencapai, mempelbagaikan dan meningkatkan keluaran sektor pertanian serta perikanan dan memastikan bekalan makanan adalah terjamin serta peningkatan di dalam eksport akan memerlukan sokongan, inovasi dan daya saing sektor swasta serta pelbagai pihak keseluruhannya.