Kahwin campur jalin perpaduan pelbagai komuniti



Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman






BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 2 Februari. – Perkahwinan campur merupakan ikatan perkahwinan antara individu daripada latar belakang kaum, etnik, atau agama yang berbeza. Perkara ini semakin berkembang dalam masyarakat moden dan memainkan peranan penting dalam menjalin perpaduan antara pelbagai komuniti.


Di Negara Brunei Darussalam (NBD), perkahwinan campur bukanlah sesuatu yang jarang terjadi, malah ia perkara yang biasa khususnya perkahwinan di antara orang Melayu dan Cina.


NBD setentunya mempunyai masyarakat yang harmoni dengan menyaksikan interaksi antara kaum Melayu, Cina, dan lain-lain adalah perkara biasa. Walaupun sesetengah keluarga lebih konservatif, ramai yang semakin menerima perkahwinan campur, terutama jika pasangan berkongsi nilai yang sama.


Dalam perkara mengenai perkahwinan campur antara Islam dan bukan Islam, undang-undang Islam di NBD menghendaki pasangan bukan Islam untuk memeluk agama Islam sebelum perkahwinan dapat dilangsungkan.


Dalam pendekatan Pelita Brunei mengenai perkahwinan campur di negara ini, Dayang Pong Bee Thing dari Kampung Rimba semasa ditemui juga bersetuju dengan perkahwinan campur menjadi perkara biasa di NBD.


Malah anak lelaki sulungnya sendiri telah memilih wanita berbangsa Melayu yang cantik, lemah lembut, menghormati orang lain, dan sangat berpegang teguh kepada agama, sebagai pasangan hidupnya.


Menurutnya, perkahwinan campur melambangkan kekayaan dalam menggabungkan dua budaya yang penuh warna-warni.


Majlis nikah dan sanding tambahnya, diadakan sebagai sebahagian daripada tradisi Melayu, manakala Upacara Minum Teh pula adalah sebagai penghormatan kepada budaya Cina.


Jelasnya lagi, Upacara Minum Teh Cina yang diadakan pada hari ini adalah versi ringkas kerana terdapat lebih banyak elemen dalam upacara berkenaan yang telah dipilih untuk tidak disertakan.


“Namun, memandangkan majlis ini bertepatan dengan Tahun Baharu Cina, kami telah menyertakan tarian singa untuk menjadikan acara ini lebih meriah dan bermakna.


“Saya berharap tradisi ini akan terus diwarisi oleh generasi akan datang dan buat masa ini, saya menantikan kehadiran cucu-cucu yang dwibahasa dan berbilang budaya," ujarnya lagi.


Pada Upacara Minum Teh Cina berkenaan, antara set teh cina (chinese tea set) yang digunakan adalah set berusia lebih 60 tahun dan kini digunakan oleh generasi ketiga keluarga Dayang Pong Bee Thing.


Bagi memeriahkan acara, turut diadakan ialah tarian singa dari Kuala Belait yang memukau para jemputan yang hadir.


Perkahwinan campur bukan sahaja menggalakkan pasangan untuk memahami dan menghormati adat, budaya, serta kepercayaan satu sama lain tetapi perlu ada sikap toleransi bagi memperkukuh hubungan dalam keluarga, sekali gus membantu membentuk masyarakat yang lebih harmoni.


Selain itu, anak-anak hasil daripada perkahwinan campur cenderung membesar dalam persekitaran yang lebih terbuka dan menghargai kepelbagaian budaya kerana mereka berpeluang menguasai lebih daripada satu bahasa serta memahami adat resam daripada kedua-dua belah keluarga, sekali gus memperkayakan identiti mereka.


Apabila dua keluarga daripada latar belakang berbeza bersatu melalui perkahwinan, mereka akan lebih kerap berinteraksi dan mengenali satu sama lain. Hal ini dapat mengurangkan salah faham serta stereotaip negatif yang mungkin wujud dalam masyarakat.


Di samping itu, perkahwinan campur juga boleh membuka peluang dalam sektor sosial dan ekonomi, kerana hubungan antara komuniti yang berbeza mampu memperluaskan jaringan perniagaan, pendidikan, serta kerjasama dalam pelbagai bidang.


Perkahwinan campur bukan sekadar penyatuan dua individu, tetapi turut memainkan peranan besar dalam memperkukuh perpaduan masyarakat.


Dengan sikap terbuka dan saling menghormati, perkahwinan campur dapat menjadi pemangkin kepada sebuah negara yang lebih bersatu padu dan harmoni.


Close