Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
JERUDONG, Selasa, 28 Januari. - DPMM FC meraih kemenangan berharga selepas menewaskan Kota Ranger FC, 6 - 1 pada aksi perlawanan Liga Super Brunei (BSL) 2024/2025, yang berlangsung malam tadi di Jerudong Park Mini Stadium, di sini.
Berangkat menyertai DPMM FC ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, selaku Ketua Pasukan.
Pada babak pertama perlawanan menyaksikan DPMM FC berada di depan apabila Sergio Mendiguchia Iglesias menjaringkan tiga gol masing-masing pada minit ke-14, 17 dan 25.
Meskipun ketinggalan 3-0, Kota Ranger FC berjaya merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti hasil daripada Awangku Muhammad Hazmi Pengiran Salleh pada minit ke-43 dan menjadikan kedudukan 3-1.
Namun selang seminit kemudian, DPMM FC menambah tekanan kepada Kota Ranger FC dengan melebarkan jurang jaringan apabila Abdul Azizi Ali Rahman berjaya membolosi gawang Kota Ranger FC pada minit ke-44.
Bersambung pada babak kedua perlawanan, DPMM FC sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang apabila Muhd. Haziq Naqiuddin Syamra memberikan gol kelima pada minit ke-58.
Beberapa minit sebelum tamat perlawanan, Sergio Mendiguchia Iglesias menjaringkan gol keenam buat DPMM FC pada minit ke-84 perlawanan.
Kedudukan kekal 6 - 1 sehingga wisel penamat dibunyikan.