Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Ak. Mohd Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
MERAGANG, Isnin, 27 Januari. - Masjid Az-Zakireen Meragang pada hari ini menganjurkan Ceramah Khas sempena Sambutan Israk dan Mikraj 1446 Hijrah / 2025 Masihi bertempat di masjid berkenaan selepas selesai menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah.
Ceramah bertajuk 'Ke Arah Kesempurnaan Solat' disampaikan oleh Penolong Pensyarah, Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Haji Md. Syahiran bin Haji Md. Sofian yang antara lain menyentuh mengenai peristiwa Israk dan Mikraj, iaitu bagaimana solat disyariatkan di mana Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam naik di Mikraj bertemu dengan Allah Subhanahu Wata'ala bagi menerima pensyariatan sembahyang yang pada asalnya diwajibkan 50 waktu namun Baginda meminta keringanan akan kewajipan solat daripada 50 waktu menjadi lima waktu namun ganjarannya tetap sama seperti menunaikan 50 waktu.
Menurutnya lagi, solat lima waktu difardukan ke atas kita umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kerana solat mempunyai kelebihan yang banyak dan mengandungi pelbagai hikmah dan rahsianya yang tersendiri.
“Di antaranya ialah solat merupakan salah satu jalan ketakwaan (Al-Baqarah, ayat 1 hingga 3), solat merupakan tiang agama (Rukun Islam), solat merupakan senjata utama (Doa), solat merupakan talian hayat (tempat meminta pertolongan), solat merupakan tanda orang-orang bersyukur dan solat merupakan benteng pertahanan, antivirus dan 'firewall' daripada melakukan perkara-perkara yang mendatangkan kerosakan dan kemungkaran," jelasnya.
Awang Haji Md. Syahiran seterusnya menyeru kepada seluruh umat Islam untuk sama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah dengan benar-benar berusaha mendirikan solat dengan cara yang diajarkan oleh Rasulullah dan mudah-mudahan kita semua tergolong dalam orang-orang yang dimasukkan ke dalam syurga Jannatul Firdaus.
Majlis dihadiri oleh Ketua Kampung Kawasan 1, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Meragang, Awang Madzlan bin Haji Jumat; Ketua Kampung Kawasan 2, RPN Meragang, Awang Mohammad bin Haji Tamin; dan Ahli-ahli Jawatankuasa Masjid, Muslimah masjid, para jemaah dan orang-orang kampung yang tinggal berdekatan kawasan Kampung Meragang.
Antara tujuan Ceramah Khas berkenaan diadakan adalah untuk saling berkongsi mendapatkan ilmu bagi mengukuhkan dan memantapkan lagi ibadat sembahyang dalam kalangan umat Islam selain menyemarakkan lagi Sambutan Israk dan Mikraj pada tahun ini.