Berkenan menerima mengadap Panglima Angkatan Tentera Malaysia



​​

Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Hernie Suliana Haji Othman





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 22 Januari. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menerima mengadap Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Dato' Seri Mohammad bin Ab. Rahman, di Istana Nurul Iman.


Mengiringi Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Dato' Seri Mohammad ialah Kuasa Usaha Sementara, Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Puan Nur Ezira Mahadi; dan Pegawai-pegawai Kanan dari Angkatan Tentera Malaysia.


NBD dan Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dua hala yang erat lagi mesra, dengan kerjasama pertahanan dimeterai secara rasminya melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman dalam Kerjasama Pertahanan pada 14 Februari 1992.


Pelbagai kolaborasi pertahanan dua hala seperti mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pertahanan Bersama, latihan ketenteraan bersama dan program kursus telah dibina, selain kerjasama pelbagai hala khususnya dalam Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang menegaskan komitmen kedua buah negara terhadap keamanan negara berjiran dan juga kerjasama keselamatan serantau.


Lawatan kali ini merupakan Lawatan Perpisahan Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Dato' Seri Mohammad ke NBD.


Yang Berbahagia adalah Panglima Angkatan Tentera Malaysia yang Ke-22 dan akan menamatkan perkhidmatan dan menyerahkan tampuk kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia pada Jumaat, 31 Januari 2025.


Yang Berbahagia dan rombongan berada di negara ini selama dua hari mulai 21 hingga 22 Januari 2025.


Close