Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Ak. Mohd. Adi Aminol Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Sabtu, 11 Januari. - Brunei Elite Futsal League (BEFL) 2024/25 diteruskan lagi pada malam ini dengan menyaksikan pertemuan di antara Arbisyam FC dan Almerez HiTUNE FC.
Pada perlawanan yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu, Almerez HiTUNE FC membuka tirai perlawanan dengan jaringan seawal minit ke-8 melalui Muhammad Iqbal Pasaribu.
Selang dua minit kemudian, Almerez HiTUNE FC menjaringkan gol kedua hasil sepakan Abolfazl Minouel Hussein namun kedudukan 2 - 0 tidak bertahan lama apabila Muhammad Aminuddin Shah Haji Rosman menjaringkan gol tunggal untuk pasukan Arbisyam FC pada minit ke-15.
Kegembiraan Arbisyam FC mengubah kedudukan 2 - 1 hanya bertahan selama seminit sahaja setelah Almerez HiTUNE FC sekali lagi membolosi gawang mereka melalui jaringan Muhammad Iqbal Pasaribu iaitu di minit ke-16 perlawanan.
Almerez HiTUNE FC terus menambah dua gol lagi pada minit yang sama iaitu pada minit ke-18 atas usaha keras Abolfazl Minouel Hussein dan Mohammad Radhi Raduan.
Kemenangan pada awal perlawanan menjadi penyuntik semangat buat Almerez HiTUNE FC meneruskan pertempuran pada babak kedua dengan serangan bertubi-tubi terhadap Arbisyam FC sehingga berjaya menjaringkan gol kelima dan keenam hasil sepakan Abolfazl Minouel Hussein sekali gus menjadikan beliau hatrik pada minit ke-26 dan Harith Hidawi bin Kernsul pada minit ke-32.
Ahmad'Afif As'ad Awang Haji Ali menghadiahkan gol kelapan Almerez HiTUNE FC dan Muhammad Iqbal Pasaribu menutup tirai perlawanan dengan jaringan hatrik pada minit ke-39 menjadikan kedudukan 9 - 1.
Info terkini mengenai BEFL 2024/25 bolehlah didapati di Instagram '@bruneifutsalleague' dan siaran langsung setiap perlawanan juga boleh diikuti di siaran YouTube.
Kejohanan BEFL 2024/25 merupakan anjuran Yakin Football League yang ditaja oleh HiTUNE Group of Companies dan disokong oleh Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD).