Kejohanan Bola Jaring sempena HPA Ke-31 buka tirai




Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad \ Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman





BERAKAS, Jumaat, 10 Januari. - Kejohanan Bola Jaring antara Kementerian-kementerian sempena Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Ke-31, Tahun 2025 anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Kebangsaan Negara Brunei Darussalam membuka tirainya hari ini bertempat di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.


Kejohanan tersebut disertai oleh 10 kementerian terdiri dari Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Pertahanan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Kementerian Pembangunan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.


Dua kategori dipertandingkan dalam kejohanan tersebut iaitu Kategori Terbuka dan Kategori Veteran. Kategori Terbuka disertai oleh 10 pasukan iaitu JPM, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Pertahanan, KHEDN, Kementerian Pendidikan, KSSUP, Kementerian Pembangunan, Kementerian Kesihatan, KHEU dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.


Manakala Kategori Veteran disertai oleh empat pasukan iaitu KHEDN, Kementerian Pembangunan, Kementerian Kesihatan dan KHEU.


Perlawanan pembukaan kejohanan menyaksikan pertemuan antara KHEU dan KSSUP di Gelanggang 1.


Manakala perlawanan antara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Pendidikan di Gelanggang 2.


Antara lain tujuan kejohanan diadakan adalah sebagai projek pembangunan sukan bola jaring jangka masa panjang dan berterusan, di samping meningkatkan usaha sama dan persefahaman dalam kalangan pegawai-pegawai di bawah kementerian masing-masing dalam memajukan dan meningkatkan mutu sukan bola jaring di Negara Brunei Darussalam.


Kejohanan juga dapat menyiapkan pemain-pemain untuk membiasakan diri dengan suasana perlawanan bola jaring yang standard serta memberikan galakan dan dorongan kepada semua lapisan masyarakat di negara ini supaya bergiat aktif dalam aktiviti sukan bola jaring di samping menarik minat dan memberikan keyakinan (self-confident) pemain-pemain.


Penyertaan kejohanan dibukakan kepada semua pegawai dan kakitangan di kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan Kerajaan Negara Brunei Darussalam.


Kejohanan seterusnya akan berlangsung pada 17 dan 24 Januari 2025 pada sebelah pagi dan petang.


Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir menyaksikan kejohanan ini bagi sama-sama memeriahkan dan memberi sokongan kepada pasukan yang bertanding.



Close