Pendaftaran semula kad SIM prabayar telefon bimbit




Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman \ Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 10 Januari. - Dalam memastikan rekod pelanggan yang tepat, dan sebagai usaha mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan, di samping untuk menentang peningkatan aktiviti menyalahi undang-undang serta penipuan yang dijalankan melalui panggilan dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) di Negara Brunei Darussalam (NBD), Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dengan kerjasama dan sokongan Unified National Networks Sdn. Bhd. (UNN), Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST), Progresif Sdn. Bhd. (Progresif) dan Imagine Sdn. Bhd. (Imagine) kini sedang melaksanakan Program Pendaftaran Semula Kad SIM Prabayar Telefon Bimbit bermula 2 Januari 2025 sehingga 31 Disember 2025.


Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Oktober 2024 lalu, pengguna-pengguna telefon bimbit prabayar adalah dikehendaki untuk mendaftar semula kad SIM prabayar mereka dengan penyedia perkhidmatan masing-masing yang dilaksanakan secara berperingkat mengikut giliran yang akan ditentukan oleh penyedia-penyedia perkhidmatan di mana tiada bayaran dikenakan bagi pendaftaran semula ini.


Bagi pengguna-pengguna DST, pengguna-pengguna telefon bimbit prabayar yang telah melanggan atau mendaftar sebelum 1 November 2024 adalah dikehendaki untuk menjalani proses pendaftaran semula dengan DST.


Bagi Progresif dan Imagine, semua pengguna-pengguna telefon bimbit prabayar yang telah melanggan atau mendaftar sebelum 2 Januari 2025 adalah dikehendaki untuk menjalani proses pendaftaran semula dengan penyedia perkhidmatan tersebut.


Penyedia-penyedia perkhidmatan akan memaklumkan pelanggan masing-masing mengenai tempoh pendaftaran semula melalui notifikasi sistem pesanan ringkas (SMS).


Pelanggan kad SIM pra-bayar adalah disarankan untuk melengkapkan pendaftaran semula mereka dalam tempoh masa yang ditetapkan bagi memastikan perkhidmatan tidak terjejas dan juga untuk mengelakkan sebarang kesulitan.


Dalam hubungan ini juga, pihak AITI mengingatkan para pengguna bahawa penyedia perkhidmatan tidak akan menghubungi awda mengenai pendaftaran semula melalui panggilan telefon atau mana-mana platform pesanan seperti WhatsApp atau Telegram.


Orang ramai adalah dinasihati untuk berwaspada ke atas sebarang kemungkinan scammers menyamar sebagai penyedia perkhidmatan untuk mendapatkan data peribadi awda.


Proses pendaftaran semula ini boleh dijalankan sepenuhnya secara fizikal dengan menghadirkan diri ke cawangan-cawangan penyedia perkhidmatan masing-masing atau ke tempat-tempat awam yang ditentukan oleh penyedia-penyedia perkhidmatan.


Selain itu bagi pelanggan-pelanggan DST sahaja, proses pendaftaran semula ini boleh dijalankan sepenuhnya melalui platform dalam talian yang disediakan oleh DST.


Bagi pelanggan-pelanggan Imagine, proses pendaftaran semula ini dijalankan sepenuhnya dengan menghadirkan diri secara fizikal ke cawangan-cawangan Imagine.


Manakala, bagi pelanggan-pelanggan Progresif, langkah awal proses pendaftaran semula ini boleh juga terlebih dahulu dijalankan melalui platform dalam talian yang disediakan oleh Progresif.


Dalam hal ini, bagi melengkapkan proses pendaftaran semula, pelanggan-pelanggan Progresif masih perlu menghadirkan diri untuk pengesahan secara fizikal di cawangan-cawangan penyedia perkhidmatan berkenaan.


Program pendaftaran semula ini hanyalah bagi pengguna kad SIM prabayar sahaja dan tidak melibatkan pengguna kad SIM pasca bayar (postpaid) kerana mereka sudah terikat dengan kontrak perkhidmatan masing-masing dengan rekod langganan yang terkini.


Maklumat terperinci juga boleh didapati di laman sesawang AITI dan penyedia perkhidmatan mudah alih masing-masing, serta melalui talian hotline syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan seperti berikut : 151 (DST), 111 (Imagine) dan 177 (Progresif).


Pihak AITI ingin menasihati orang ramai untuk bertanggungjawab ke atas kad SIM yang berdaftar di atas nama masing-masing. Orang ramai juga diingatkan untuk tidak menyerahkan, meminjamkan, menyewakan, atau menjual kad SIM telefon bimbit mereka kepada orang lain, untuk mengelakkan penyalahgunaan kad SIM berkenaan.


Seterusnya, bagi penukaran hak milik kad SIM, orang ramai adalah disarankan untuk mendaftarkan semula kad SIM dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang berkenaan.


Close