Oleh : Haniza Abdul Latif \ Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 10 Januari. – Artritis adalah keradangan sendi yang boleh menyebabkan kesakitan, kekejangan dan bengkak serta ia boleh menjejaskan sesiapa sahaja, terutama sekali apabila usia meningkat.
Ia juga merupakan salah satu punca utama kesakitan dan ketidakupayaan dalam kalangan warga emas, yang menjejaskan pergerakan dan kualiti hidup serta memberi kesan yang signifikan terhadap kehidupan seseorang individu kerana ianya boleh menjejaskan aktiviti-aktiviti harian seperti berjalan, berpakaian, dan memegang barang.
Ini boleh menyebabkan kesukaran untuk bergerak, hilang keupayaan berdikari, penurunan kualiti hidup dan masalah kesihatan mental akibat kesakitan kronik.
Tanda-tanda artritis ialah sakit sendi, kemerahan di sekitar sendi, bengkak dan kekejangan terutama pada waktu pagi atau selepas berehat.
Dalam kalangan warga emas, artritis adalah disebabkan oleh penghakisan semula jadi pada sendi, termasuk faktor-faktor lain seperti genetik, jangkitan kuman, kecederaan dan penyakit kronik seperti obesiti.
Terdapat beberapa jenis Artritis iaitu Osteoartritis yang sering berlaku dan disebut sebagai Artritis 'penghakisan dan kehausan', yang berlaku apabila tulang rawan yang melindungi sendi menjadi semakin haus dan biasanya berlaku di usia tua yang melibatkan sendi lutut, pinggul dan tangan.
Artritis Reumatoid pula adalah jenis penyakit autoimun, di mana sistem imun badan secara tidak sengaja menyerang sendi sendiri. Berbeza dengan Osteoartritis, Artritis Reumatoid boleh bermula di usia muda dan sering berlaku di kedua-dua belah sendi secara sama rata.
Sementara itu, Artritis Psoriatik terjadi pada sesetengah orang yang mengalami psoriasis, iaitu keadaan kulit yang menyebabkan tompok-tompok merah dan bersisik.
Manakala gout adalah jenis Artritis yang disebabkan oleh pengumpulan kristal asid urik dalam sendi, yang membawa kepada kesakitan secara tiba-tiba dan terlalu menyakitkan, terutamanya pada ibu jari kaki. Serangan gout biasanya hanya melibatkan satu sendi sahaja pada satu masa.
Spondilitis Ankylosing pula ialah jenis artritis yang menyebabkan keradangan antara vertebra di tulang belakang. Dari semasa ke masa, ia boleh menyebabkan tulang belakang bercantum bersama dan menghadkan kemampuan untuk bergerak.
Seseorang yang mengalami gejala artritis adalah disarankan untuk berjumpa doktor di pusat-pusat kesihatan berdekatan secepat mungkin.
Diagnosis dan rawatan awal boleh membantu mengurangkan gejala atau simptom dan mencegah kerosakan lanjut. Doktor mungkin akan memberi nasihat mengenai perubahan gaya hidup, ubat atau terapi fizikal yang bersesuaian.
Artritis boleh dicegah dan terdapat beberapa cara untuk mengurangkan risiko bagi mereka yang mengalami masalah Artritis iaitu dengan menjaga berat badan yang sihat, kekal aktif secara fizikal, mengelakkan kecederaan sendi dan mengamalkan diet seimbang yang kaya dengan nutrien yang baik untuk sendi seperti asid lemak Omega-3.
Beberapa kombinasi jenis rawatan diperlukan bagi artritis antaranya ialah ubat-ubatan untuk mengurangkan kesakitan dan keradangan; terapi fizikal untuk menguatkan otot di sekitar sendi; perubahan gaya hidup seperti senaman secara berkala dan pembedahan dalam kes yang serius.