Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani \ Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 10 Januari. - Al-Quran penuh rahmat dan berkat yang mengandungi tunjuk ajar dan panduan hidup serta peringatan kepada orang yang mahu beringat dan pengajaran bagi yang mahu mengambil teladan.
Yang Dipertua Persatuan Basmi Dadah Negara Brunei Darussalam (BASMIDA), Datin Hajah Dayang Masni binti Haji Mohd. Ali seterusnya menjelaskan, Al-Quran itu lengkap dengan pelbagai perkara yang kita hajati termasuk dalam usaha mencari rezeki yang berkat.
“Beruntunglah kitani selaku umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kerana telah dikuniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dengan Al-Quran," ujar Datin Hajah Dayang Masni semasa Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran sempena Bulan Rejab 1446 Hijrah anjuran Kumpulan Dikir dan Tausyeh (Wanita) BASMIDA yang berlangsung di Ibu Pejabat BASMIDA House, hari ini.
Beliau seterusnya menegaskan kepada semua untuk menjadikan membaca Al-Quran itu sebagai amalan harian kita dan berusaha memahami isi kandungannya agar kita dapat menghayati segala apa yang ada dalam Al-Quran disertai dengan amalan-amalan sunat yang lain dan seterusnya mengikuti segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan Allah yang telah ditetapkan.
Majlis berkenaan adalah sebagai tanda kesyukuran meraikan tamatnya pembacaan 30 juzuk Al-Quran yang disertai oleh lebih 50 ahli BASMIDA yang ditugaskan membaca satu juzuk setiap seorang, manakala empat orang ahli lagi membaca dari juzuk 1 hingga juzuk 30.
Acara kerohanian itu juga adalah bersempena dengan kedatangan bulan Rejab pada 1 Januari 2025 Masihi iaitu bulan Rejab merupakan bulan mulia yang membawa rahmah dan keberkatan, tanda persiapan kita menuju bulan Ramadan.