Memperkasa keupayaan perniagaan tempatan



​Oleh : Muhammad Zulkamal Awang Haji Kamis \ Foto : Ihsan Ghanim International Corporation





LAMBAK KANAN, Jumaat, 10 Januari. - Dalam usaha untuk melengkapkan usahawan tempatan dengan alat kewangan yang penting khususnya dalam memahami lagi struktur kos perniagaan dan membuat keputusan perniagaan, Ghanim International Corporation (Ghanim) telah menganjurkan Costing Workshop di mana seramai empat usahawan tempatan yang terdiri dalam kalangan usahawan 1 Kampung 1 Produk (1K1P) dikumpulkan dalam penganjuran bengkel tersebut, baru-baru ini.


Costing Workshop tersebut dikendalikan oleh pensyarah dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), School of Business and Economics, Dayangku Hajah Saerah binti Pengiran Haji Petra. Peserta bengkel telah diperkenalkan dengan konsep-konsep pengekosan utama, termasuk kos langsung dan tidak langsung, kos tetap dan berubah serta analisis pulangan modal.


Melalui latihan praktikal dengan mengaplikasikannya ke dalam dunia sebenar, peserta mempelajari cara mengurus perbelanjaan dengan lebih berkesan dan terus berusaha meningkatkan kemampanan dan konsisten dalam perniagaan mereka.


Inisiatif yang diungkayahkan oleh Ghanim ini merupakan sebahagian usaha dan komitmen yang berterusan daripada mereka untuk menyokong dan mendukung usahawan 1K1P khususnya dalam industri pemakanan di negara ini.


Selain itu, ia juga sejajar dengan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Ghanim bersama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang bertujuan untuk memperkasa dan meningkatkan perniagaan tempatan melalui perkongsian pengetahuan, pembinaan kapasiti dan peluang pengembangan pasaran perniagaan.



Close