Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri adakan Majlis Khatam Al-Quran



​​


Siaran Akhbar dan Foto : Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri





MENTIRI, Rabu, 1 Januari. - Ibadah bertadarus Al-Quran sangat dituntut kepada semua umat Islam di samping menjadi kewajipan untuk mencari keberkatan, menghayati dan mengambil iktibar dari isi yang terkandung dalam kitab suci Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian.


Sehubungan itu, jemaah subuh tadarus Al-Quran Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi menzahirkan rasa syukur setelah berjaya melengkapkan bacaan 30 juzuk.


Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan disusuli dengan bacaan surah-surah ayat lazim bermula dari Surah Adh-Dhuha sehingga Surah An-Nas yang dipimpin oleh Awang Haji Annuar bin Penghulu Haji Ibrahim yang juga membacakan Takhtim dan Doa Khatam serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.


Majlis juga diserikan dengan Dikir Marhaban oleh para peserta khatam. Hadir pada majlis tersebut ialah Imam Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri, Pengiran Sallehin bin Pengiran Haji Tejuddin.


Peserta khatam ini merupakan jemaah di masjid berkenaan yang telah mengadakan ibadah bertadarus setiap hari selepas menunaikan Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah yang juga dihasratkan untuk mengimarahkan lagi masjid berkenaan.


Close