Oleh : Khartini Hamir / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Haji Awang Abas
JERUDONG, Rabu, 4 Disember. – Pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah menyumbang dengan ketara ke arah pertumbuhan ekonomi dan daya saing ekonomi Asia Pasifik. Pada masa yang sama, menurut Capital Finance International, rantau Asia Pasifik merupakan pemacu utama dalam inovasi global.
Terdiri daripada gabungan kuasa teknologi yang mapan dan ekonomi yang berkembang pesat, rantau berkenaan membentuk landskap permulaan global dengan gabungan cita-cita, sokongan kerajaan, dan bandar-bandar besar yang berkembang maju, Asia Pasifik juga merupakan hab bagi inovasi di luar pusat tradisional, dengan ekosistem permulaan yang unik mendorong sempadan keusahawanan.
Perkara berkenaan digariskan dalam sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha pada Majlis Perasmian dan Sambutan Gala Anugerah Bersekutu ICT Asia Pasifik (APICTA) 2024 yang berlangsung malam tadi di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei.
“Atas sebab ini, kami amat berbangga menjadi sebahagian daripada komuniti ICT di rantau ini, yang bersatu dalam semangat kerjasama, membentuk rangkaian koperatif untuk mempromosi inovasi teknologi dan menggalakkan pembangunan penyelesaian ICT tempatan untuk pasaran global melalui program anugerah tahunan," sembah Yang Berhormat.
Melaluinya sembah Yang Berhormat lagi, ia menyatukan minda-minda yang cemerlang, idea-idea yang paling inovatif, dan rangkaian yang kukuh untuk mempamerkan kemajuan luar biasa yang sedang memacu transformasi digital.
“Di Negara Brunei Darussalam (NBD), kami yakin bahawa teknologi adalah pemangkin yang kuat untuk kemajuan.
“Negara kami telah lama komited untuk memupuk budaya inovasi, memperkasa bakat muda kami, dan mempromosi pembangunan ekosistem digital yang kukuh.
“Kami mengakui bahawa ekonomi digital bukan sahaja tentang kemajuan teknologi tetapi juga mencipta peluang untuk pertumbuhan, pendidikan, dan kelestarian merentasi semua sektor masyarakat," sembah Yang Berhormat.
Yang Berhormat dalam sembah alu-aluannya juga menjelaskan, Anugerah APICTA menyediakan platform yang luar biasa untuk mengiktiraf dan meraikan pencapaian cemerlang dalam sektor ICT.
Sembah Yang Berhormat lagi, ia menonjolkan kreativiti, daya tahan, serta dedikasi individu dan organisasi yang mendorong apa jua sempadan yang mungkin dicapai, selain anugerah berkenaan bukan sahaja menghargai kecemerlangan tetapi juga memberi inspirasi kepada orang lain untuk meneruskan perjalanan inovasi dan kecemerlangan mereka dalam ICT.
“Malam ini, kita berkumpul untuk meraikan pencapaian kolektif semua yang telah menyumbang kepada bidang dinamik ini. Hamba Duli Tuanku gembira mendengar bahawa kami telah menerima jumlah penyertaan tertinggi dalam sejarah APICTA dengan 280 penyertaan dari 15 ekonomi anggota APICTA.
“Calon-calon yang hadir mewakili antara yang terbaik dalam inovasi dan kreativiti, justeru hamba Duli Tuanku ingin mengucapkan tahniah atas usaha dan dedikasi mereka yang dapat memberikan sumber inspirasi bagi generasi pemimpin, pemikir, dan pencipta ICT yang akan datang," sembah Yang Berhormat.
Yang Berhormat tidak ragu bahawa karya-karya tersebut akan terus memberi inspirasi kepada generasi profesional ICT pada masa hadapan.
Seperti yang sedia maklum sembah Yang Berhormat lagi, teknologi hari ini berkembang dengan pantas, dan membolehkan perubahan dan kemajuan berlaku dengan lebih cepat, menyebabkan kadar perubahan semakin meningkat, justeru kita perlu kekal dengan teknologi yang sedang muncul dan trend teknologi terkini terutamanya bagi para profesional IT.
Dalam kemajuan Anugerah APICTA ke dalam era digital yang sentiasa berkembang ini, Yang Berhormat mengakui bahawa kerjasama adalah kunci kejayaan.
Sembah Yang Berhormat lagi, masa depan ICT bukan hanya tentang pencapaian individu, bahkan teknologi juga bukan hanya tentang produk dan penyelesaian, ia tentang orang, perkongsian, dan kemungkinan.
Yang Berhormat seterusnya menyembahkan ia adalah mengenai kerjasama untuk membina masa depan yang mampan, inklusif, dan saling terhubung untuk semua. Inilah inti pati yang diwakili oleh Anugerah APICTA, iaitu mewujudkan platform untuk pertukaran idea, perkongsian pengetahuan, dan kemajuan teknologi untuk kebaikan bersama masyarakat.
Dalam sembah Yang Berhormat juga turut mengalu-alukan kehadiran para tetamu dari luar negara dan tidakmelepaskan peluang mereka untuk menikmati pemandangan dan merasakan pengalaman serta daya tarikan unik sepanjang penginapan mereka di negara ini.
“Hamba Duli Tuanku juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan yang tulus kepada Jawatankuasa Kerja Anugerah APICTA 2024, rakan-rakan kongsi yang kami hormati, serta para penaja kami kerana menjayakan acara ini dan dapat menunjukkan yang terbaik dari NBD kepada para tetamu kami.
“Sokongan yang tidak berbelah bahagi dari semua pihak bukan sahaja memastikan kejayaan berterusan anugerah ini tetapi juga menyumbang kepada peningkatan keupayaan kolektif di rantau ini dalam ekonomi digital global," sembah Yang Berhormat.
Terdahulu, Yang Berhormat menyembahkan sembah junjung kasih di atas keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri ke majlis berkenaan menjadi saksi kepada minat dan advokasi yang mendalam terhadap bukan sahaja bidang inovasi teknologi dan pembangunan ICT, tetapi juga terhadap pembangunan manusia, semangat persahabatan dan kerjasama, dan ini adalah nilai-nilai yang dipegang teguh oleh APICTA, sebagai sebuah persatuan komuniti ICT.