NBD, Thailand terus memperkukuh kerjasama erat



​​

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Azmah Haji Ahad





JERUDONG, Rabu, 4 Disember. - Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Kerajaan Thailand sentiasa berkongsi komitmen khususnya terhadap keamanan serantau, kemakmuran, kelestarian dan hubungan yang memberikan manfaat kepada rakyat di antara kedua-dua buah negara apatah lagi sebagai Negara-negara Anggota ASEAN.


Perkara demikian dijelaskan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke NBD, Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai pada Majlis Resepsi sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia King Bhumibol Adulyadej The Great, Hari Kebangsaan Kingdom of Thailand, Hari Bapa Thailand dan Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Hubungan Diplomatik antara NBD dan Thailand.


Menurut Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai, Thailand sepenuhnya menyokong inisiatif NBD mengenai agenda iklim dan kelestarian serta berhasrat untuk mengambil bahagian secara aktif dalam Pusat ASEAN untuk Perubahan Iklim.


Terdahulu, Puan Yang Terutama dalam ucapannya menyentuh mengenai dua bidang kerjasama erat yang terus diperkukuh dalam pelbagai dimensi iaitu pertama, dalam bidang ketenteraan dan pertahanan di mana kedua-dua negara sentiasa terlibat dalam lawatan dan mesyuarat peringkat tinggi.


PYT seterusnya menjelaskan, kedua, dalam bidang pendidikan di mana lebih banyak biasiswa dan program pertukaran yang ditaja oleh kedua-dua kerajaan dan universiti terkemuka.


Tahun ini tambah PYT, Kedutaan Diraja Thailand di NBD juga melancarkan Thai Book Corner di Universiti Teknologi Brunei bertujuan untuk mempromosikan hubungan antara rakyat, memudahkan pertukaran pengetahuan dan membina pemahaman antara budaya yang seterusnya menyumbang kepada pengukuhan Komuniti ASEAN.


Dalam ucapannya lagi, PYT yakin sebagai langkah ke hadapan, kedua-dua negara akan terus memperkukuh kerjasama sedia ada dan meneroka peluang baharu untuk kebaikan bersama negara, rakyat dan rantau ASEAN.


Hadir mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Resepsi yang berlangsung di Royal Berkshire Hall, Jerudong, di sini ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dan isteri, Datin Fadzlin binti Haji Hashim.


Pada majlis tersebut, PYT dan Yang Berhormat serta isteri menyempurnakan Majlis Pemotongan Kek disusuli dengan penyampaian cenderahati kepada Menteri Pembangunan oleh PYT.​


Close