Berangkat ke Majlis Perasmian, Sambutan Gala Anugerah APICTA 2024




Oleh : Khartini Hamir / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Haji Awang Abas


JERUDONG, Rabu, 4 Disember. - Majlis Perasmian dan Sambutan Gala Anugerah Bersekutu ICT Asia Pasifik (APICTA) 2024 diadakan malam tadi di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei.


Berkenan berangkat merasmikan majlis berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.


Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; Pengerusi APICTA, Fulvio Inserra; Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Kerja Anugerah APICTA 2024; Pengerusi, InfoCom Federation Brunei (IFB), Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff selaku Pengerusi Bersama II Jawatankuasa Kerja Anugerah APICTA 2024; dan Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Awang Haji Jailani bin Haji Buntar.


Majlis Perasmian dan Sambutan Gala dimulakan dengan sembah alu-aluan daripada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, diikuti dengan sembah ucapan oleh Pengerusi APICTA.


Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan merasmikan pelancaran Anugerah APICTA 2024, menandakan permulaan acara berprestij berkenaan serta mencerminkan semangat persahabatan dan harapan yang menonjolkan bermulanya perjalanan menuju ke arah pengiktirafan kecemerlangan dan kejayaan dalam dunia digital.


Majlis berkenaan bukan sahaja merupakan satu perhimpunan dinamik yang menjadi titik permulaan bagi acara-acara sepanjang minggu, bahkan ia juga menjadi platform untuk mengalu-alukan kedatangan para delegasi, peserta, penaja, dan tetamu, serta menyediakan peluang untuk menjalin jaringan dan meraikan inovasi dalam ICT.


Sejurus Majlis Pelancaran berkenaan, DYTM berkenan menerima pesambah daripada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.


Majlis kemudian diisikan dengan tayangan video Anugerah APICTA 2024 yang memaparkan pelbagai kategori pertandingan dan gambaran aktiviti yang berlangsung sepanjang minggu APICTA 2024 diadakan.


Atur cara Sambutan Gala juga turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan hiburan oleh penyanyi dan penari tempatan.


Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM dijunjung untuk beramah mesra dengan para delegasi, sekali gus membangkitkan lagi semangat kerjasama dan penghargaan bersama dalam kalangan ahli-ahli ekonomi APICTA.


Anugerah APICTA diadakan setiap tahun sebagai platform pertandingan rantau Asia Pasifik bagi produk dan penyelesaian digital inovatif, mengiktiraf daya saing dan potensinya di peringkat Asia Pasifik.


Pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam (NBD) mendapat keistimewaan untuk menjadi tuan rumah bagi Anugerah APICTA 2024, yang merupakan satu lagi titik pencapaian, bertepatan dengan Ulang Tahun Ke-20 penganjuran Anugerah ICT Brunei (BICTA).


Ini merupakan kali kedua NBD menjadi tuan rumah bagi Anugerah APICTA sejak 2012, dan negara menyambut peluang untuk menghimpunkan lebih daripada 500 delegasi dari negara-negara ahli. Ini terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Eksekutif APICTA (EXCO), para juri, peserta pertandingan, dan wakil industri dari rantau Asia Pasifik.


Anugerah APICTA 2024 dikendalikan oleh MTIC dengan kerjasama AITI dan IFB.


APICTA terdiri daripada ahli-ahli ekonomi, termasuk Australia, Bangladesh, NBD, Republik Rakyat China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Macao, Malaysia, Myanmar, Nepal, Pakistan, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Viet Nam.


Anugerah APICTA 2024 mempertandingkan sebanyak 35 kategori, termasuk sub-kategori bagi Pengguna; Perkhidmatan Masyarakat dan Keikutsertaan; Perindustrian; Perkhidmatan Perniagaan; Sektor Awam dan Kerajaan; Penuntut; Kategori Silang dan Anugerah Teknologi.


Di samping itu, Anugerah Pilihan Ramai juga turut dipertandingkan bagi Kategori Penuntut Senior dan Kategori Projek Penuntut Pengajian Tinggi, dengan peserta yang memperoleh undian yang tertinggi daripada orang ramai akan layak memenangi anugerah berkenaan.


Beberapa aktiviti juga telah dirancang sepanjang Anugerah APICTA 2024, antaranya adalah Business Networking dan Students Networking yang membuka peluang untuk jaringan hubungan dalam kalangan pihak-pihak yang berkepentingan terutama sekali mereka yang terlibat dalam bidang teknologi dan inovasi untuk berhubung, bekerjasama dan bertukar-tukar idea.


Selain itu, bersempena dengan Anugerah APICTA 2024, Pameran Digital Brunei yang mengetengahkan kemajuan inovasi dan komitmen NBD ke arah transformasi digital diadakan dari 4 hingga 6 Disember 2024 bertempat di Atrium, The Mall, Gadong dan dibukakan untuk kunjungan orang ramai dari jam 10.00 pagi hingga 9.00 malam.


Untuk maklumat lanjut dan terkini mengenai Anugerah APICTA 2024, ikuti Instagram '@apicta.awards' atau layari 'www.apicta2024.bn.'
















Close