Semakan Dasar Perdagangan NBD ke-4 di Geneva, Switzerland





Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kewangan dan Ekonomi





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 29 November. - Pertubuhan Perdagangan Dunia (World Trade Organization - WTO): Semakan Dasar Perdagangan (TPR) Negara Brunei Darussalam (NBD) kali ke-4 telah diadakan pada 27 hingga 29 November 2024 di Geneva, Switzerland.


Mesyuarat WTO telah dipengerusikan oleh, Duta Besar Nigeria dan Pengerusi Lembaga Semakan Dasar Perdagangan, Tuan Yang Terutama Adamu Mohammed Abdulhamid.


Duta Besar Afrika Selatan ke WTO, Tuan Yang Terutama Mzukisi Qobo bertindak selaku pembahas pada mesyuarat berkenaan.


Manakala, delegasi daripada NBD telah diketuai oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa'ezah binti Haji Ahmad Ariffin.


Turut Hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Perwakilan Tetap NBD ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, WTO, organisasi-organisasi antarabangsa lain di Geneva, Switzerland, Puan Yang Terutama Dayangku Mazlizah binti Pengiran Haji Mahalee, berserta ahli-ahli WTO yang berkaitan.


Semakan Dasar Perdagangan adalah salah satu latihan yang telah dimandatkan oleh WTO, yang mana, perdagangan berserta dasar-dasar yang berkaitan daripada ahli-ahli anggota akan diteliti dan dinilai pada masa yang sama.


Perkembangan penting yang dapat memberikan impak kepada sistem perdagangan global juga akan dipantau. Kekerapan semakan bagi kesemua ahli anggota WTO adalah tertakluk kepada saiz sesebuah negara. Semakan asas adalah laporan daripada Sekretariat WTO dan laporan Kerajaan Brunei Darussalam.


Bagi NBD, TPR secara lazimnya akan dijalankan setiap tujuh tahun sekali mengikut standard kitaran kajian WTO bagi negara-negara membangun. TPR kali ke-3 telah dilaksanakan pada 10 hingga 12 Februari 2015 yang lepas.


Bagi mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai Kajian Dasar Perdagangan Brunei Darussalam, orang ramai boleh melayari: https://www.wto.org/english/tratop_e/tpr_e/tp_rep_e.htm.​

 

Close