Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 29 November. - Seramai 185 peserta dari keempat-empat daerah telah berjaya menamatkan Kelas Bimbingan Muallaf (KBM) anjuran Pusat Da'wah Islamiah (PDI).
Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Penyampaian Sijil KBM PDI Kali Ke-2 bagi Tahun 1445H-1446H/2023M-2024M di sini ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Datin.
Peserta yang menerima sijil ini adalah dari KBM 2 iaitu Kelas Iqra' dan KBM 3 iaitu Kelas Al-Quran. Majlis juga diselajuri dengan penyampaian sijil kepada tujuh tenaga pengajar kelas yang mana telah mengajar lebih sepuluh tahun.
Pengarah PDI, Awang Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd. Salleh dalam alu-aluannya menyatakan, sejak tahun 1985 hingga sekarang KBM semakin berkembang maju dengan tertubuhnya KBM di 18 buah tempat di kawasan bandar, luar bandar serta pedalaman sebagai platform untuk belajar ugama, belajar Al-Quran dan muqaddam Fardu Ain dan Fardu Kifayah.
Dalam pada itu, Awang Haji Abdul Rajid berkata, PDI melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) juga membukakan Kelas Al-Quran secara dalam talian untuk memberi peluang kepada para mualaf yang tidak berkesempatan menghadiri Kelas Bimbingan secara fizikal, iaitu sebagaimana saranan semasa penyampaian sijil kali pertama tahun 2022 yang lalu.
"Alhamdulillah, seramai 34 guru pembimbing telah dilantik dan ditempatkan untuk mengajar di Kelas-kelas Bimbingan di daerah-daerah yang terdiri daripada kalangan guru-guru ugama dan para pembimbing Al-Quran yang dikenal pasti.
"Alhamdulillah baru-baru ini, KBM mengorak langkah dengan melancarkan Kelas Seni Tarannum Al-Quran yang bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada mualaf yang meminati Tarannum Al- Quran sebagai salah satu platform persiapan bagi para mualaf yang akan menyertai Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Mualaf sama ada peringkat negara, se-Borneo atau serantau," ujarnya semasa majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan, PDI, hari ini.
Semoga dengan acara yang diadakan ini, ujarnya, akan semakin memperkuat kecintaan terhadap kalam Allah untuk amalan kita sehari-hari, seterusnya, menghargai komitmen para peserta mualaf, bertaaruf serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan para mualaf.
Majlis diserikan dengan Majlis Khatam Al-Quran oleh peserta KBM 3 di seluruh daerah, diikuti dengan persembahan nasyid dari KBM Kampung Batang Mitus, Daerah Tutong.
Adapun majlis berkenaan dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) dengan kerjasama Unit Da'wah Daerah Tutong, Unit Da'wah Daerah Belait dan Unit Da'wah Daerah Temburong.
Majlis Penyampaian Sijil KBM adalah sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada para mualaf yang berjaya mengikuti Kelas Iqra' dan Kelas Al-Quran. Majlis juga bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara para peserta mualaf dari keempat-empat daerah.
Dengan adanya KBM secara berterusan ini dihasrat akan dapat menggalakkan mualaf untuk lebih giat mempelajari serta menghayati bacaan Al-Quran, seterusnya melahirkan para mualaf yang celik Al-Quran dan berjaya mengkhatamkan bacaan ayat suci Al-Quran.