Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
TANAH JAMBU, Jumaat, 29 November. - Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pagi tadi mengadakan Majlis Penganugerahan Anak-anak Cemerlang bagi menghargai pencapaian akademik anak-anak anggotanya bagi tahun 2021, 2022 dan 2023.
Seramai 163 orang menerima anugerah kecemerlangan dan penghargaan berupa sijil dan hadiah, di atas keputusan cemerlang mereka dalam Peperiksaan General Certificate of Education (GCE) 'A' Level, GCE 'O' Level, Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB), Sijil Pelajaran Tinggi Ugama Brunei (SPTUB), Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) dan Penilaian Sekolah Rendah (PSR).
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan anugerah dan sijil pada majlis yang berlangsung di Auditorium Akademi Pertahanan, di sini ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif ABDB, pegawai-pegawai kanan, para ibu bapa serta penjaga kepada penerima-penerima anugerah.
Majlis ini merupakan acara tahunan yang bertujuan untuk memberi penghargaan kepada anak-anak pegawai dan anggota ABDB yang telah memperoleh pencapaian akademik yang cemerlang serta sebagai dorongan agar mereka akan terus berusaha ke arah memacu kejayaan.
Selain itu, majlis seumpamanya juga adalah sebagai dorongan kepada anggota-anggota ABDB untuk terus komited dalam memeduli pembelajaran anak-anak ke arah mendukung matlamat Wawasan Brunei 2035 khasnya dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.