Lebih 200 peserta bersaing pada Kejohanan Karate Terbuka RKBD





Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Azmah Haji Ahad





BERAKAS, Jumaat, 29 November. – Kejohanan Karate Terbuka Rengokai Karate Brunei Darussalam (RKBD), Tahun Persahabatan Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Jepun Ke-40, 2024 membuka tirainya hari ini yang menyaksikan lebih 200 peserta dalam dan luar negara bersaing pada kejohanan tiga hari tersebut yang akan berlangsung sehingga Ahad, 1 Disember ini.


Dianjurkan oleh RKBD, dengan sokongan oleh Persekutuan Karate Brunei Darussalam (BRUKAF), Kedutaan Jepun di NBD dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), kejohanan diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.


Majlis Pembukaan Rasmi kejohanan berkenaan disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.


Sebanyak enam kategori dipertandingkan masing-masing bagi Acara Individu Kata dan Kumite serta Berpasukan Kata dan Kumite iaitu di bawah Kategori 'A' (6-8 tahun); Kategori 'B' (9-10 tahun); Kategori 'C' (11-13 tahun); Kategori 'D' Kadet (14-15 tahun); Kategori 'E' Junior (16-17 tahun) dan Kategori 'F' bawah 21 (18-21 tahun).


Para peserta yang menyertai kejohanan mewakili tujuh buah Kelab Karate tempatan iaitu RKBD, International Karate Gojukai Association Brunei Darussalam, Shitokai Kuala Belait, Persatuan Karate Shitoryu Brunei Darussalam, Shotokan Karate Brunei Darussalam, Wadokai Karate Brunei Darussalam, Sekolah Sukan Brunei Shotokan dan sebuah kelab jemputan dari negara jiran Sarawak, Malaysia, iaitu LCF Goshinryu Miri.


Presiden RKBD, Pengiran Haji Md. Hasimudin bin Pengiran Haji Md. Yassin dalam ucapannya berkata, kejohanan berkenaan diadakan sempena 40 Tahun Hubungan Persahabatan Antara NBD dan Jepun.


Melalui kejohanan ini, ia mempamerkan semangat kesukanan dan seni bela diri Karate Jepun yang telah tersebar ke NBD dari Jepun.


Hari pertama kejohanan berkenaan menyaksikan perlawanan bagi Kategori 'A' (6-8 tahun) dan Kategori 'B' (9-10 tahun) bagi Acara Individu Kata dan Kumite.


Juga hadir pada majlis tersebut, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke NBD, Tuan Yang Terutama Maeda Toru; Setiausaha Tetap (Kebudayaan) KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan dan para jemputan khas lainnya.​


Close