Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 29 November. – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Wanita Kali Ke-5 (5th AMMW) yang diadakan secara hibrid.
Mesyuarat dirasmikan dan dipengerusikan oleh Union Minister for Social Welfare, Relief and Resettlement, Ministry of Social Welfare, Relief and Resettlement, The Government of the Republic of The Union of Myanmar, Tuan Yang Terutama Dr. Soe Win, selaku Menteri AMMW.
Mesyuarat juga turut dihadiri oleh Menteri-menteri AMMW Negara-negara Ahli ASEAN dan wakil serta Timbalan Setiausaha Agung ASEAN. Timor-Leste juga hadir sebagai pemerhati.
Dengan tema 'Towards an Inclusive Society through Gender Mainstreaming and Women Empowerment', mesyuarat tersebut mengesahkan lagi komitmen ASEAN untuk mempromosikan pemerkasaan wanita dan mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif di rantau ASEAN.
Semasa mesyuarat, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah mengongsikan, bahawa wanita merangkumi hampir separuh (47.2 peratus) daripada jumlah penduduk negara dan oleh itu, penyertaan penuh mereka adalah penting untuk mencapai matlamat pembangunan negara.
Yang Berhormat seterusnya mengongsikan bahawa wanita di Negara Brunei Darussalam (NBD) adalah penting untuk kemajuan negara dengan menyumbang secara aktif dan adil kepada masyarakat.
Yang Berhormat turut memaklumkan bahawa pada bulan Disember tahun lepas, NBD telah menyelesaikan penyelidikan mengenai pembangunan wanita di negara ini, dengan diterajui oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Penyelidikan ini mengesahkan bahawa pembangunan wanita di negara ini telah berkembang maju dengan sangat baik, yang mana ia dibuktikan melalui penglibatan wanita yang tinggi dalam pendidikan dan tenaga kerja.
Dalam mengiktiraf pelbagai peranan wanita sebagai penjaga, isteri dan ibu, penyelidikan ini juga menekankan keperluan untuk memperkukuh sokongan untuk wanita yang bekerja, seperti dalam penjagaan kanak-kanak dan keseimbangan pekerjaan dan kehidupan.
Yang Berhormat seterusnya mengongsikan bahawa Pelan Tindakan Wanita yang akan disediakan melalui Majlis Kebangsaan Isu Sosial akan memberi tumpuan kepada strategi-strategi untuk penyertaan ekonomi, pembangunan kemahiran, dan pekerjaan, bagi memastikan dasar-dasar boleh menangani keperluan wanita di negara ini dan memperkasa mereka untuk menyumbang sepenuhnya kepada pembangunan negara.
Yang Berhormat juga mengongsikan bahawa terdapat sokongan yang padu terhadap usahawan-usahawan wanita melalui pelbagai inisiatif termasuk latihan, bantuan kewangan dan pembiayaan mikro kredit yang disediakan melalui agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
Yang Berhormat percaya bahawa pendekatan senegara ataupun Whole of Nation adalah kunci kepada pengarusutamaan gender (gender mainstreaming) dan pemerkasaan wanita, dengan penglibatan pihak kerajaan, Organisasi Bukan Kerajaan (NGO), masyarakat sivil, sektor swasta dan individu yang mana kesemuanya memainkan peranan dalam mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif, makmur dan saksama.
Mesyuarat itu seterusnya mengesahkan Kenyataan Bersama Menteri-menteri AMMW Ke-5 mengenai pengarusutamaan gender (gender mainstreaming) dan pemerkasaan wanita yang mengesahkan komitmen semua negara anggota ASEAN terhadap visi ASEAN sebagai Komuniti ASEAN berasaskan peraturan, berorientasikan rakyat dan berpusatkan rakyat, yang mana wanita dan lelaki adalah rakan kongsi yang setara dan penerima manfaat pembangunan mampan.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) KKBS, Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dan pegawai-pegawai kanan KKBS.