Komitmen berterusan mempelajari, memahami ayat suci Al-Quran





Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohammad Hasif Matzin





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 29 November. - Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dalam ucapannya menyatakan bahawa sesungguhnya mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya adalah usaha yang memerlukan komitmen yang tinggi.


Kedua-dua pihak iaitu guru dan pelajar bahkan juga pengusaha Nuqra Quranic Learning Centre (NQLC) sendiri bukan setakat mahukan para pelajarnya segera pandai dan khatam.


"Komitmen masing-masing ialah untuk memenuhi keinginan supaya Al-Quran menjadi panduan dalam menempuh liku-liku kehidupan baik pun diri sendiri juga dalam kehidupan berkeluarga, apalagi bermasyarakat dan bernegara," jelas Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama pada Majlis Mega Konvokesyen Nuqra 2024 berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong hari ini.


Menurut Yang Berhormat, kita mengakui bahawa setakat membaca dan mendengar Al-Quran dibacakan pun kita sudah boleh mendapat pahala. Dalam waktu yang sama kita juga diserukan oleh Allah Subhanahu Wata'ala supaya mengambil pengajaran daripada ayat-ayat yang dibaca dan didengar itu.


Oleh itu, Yang Berhormat seterusnya menekankan kepada pelajar-pelajar seyogialah meneruskan usaha selain pandai membaca dan telah sampai Khatam 30 Juzuk bacaan ayat-ayat Al-Quran, teruskanlah membaca sambil untuk memahami dan mendapat pengajaran daripada Al-Quran itu.


Jelasnya, ada banyak mushaf Al-Quran boleh diperoleh dan dibaca yang mengandungi terjemahan makna dan huraian tafsirnya. Ada banyak program radio dan televisyen bahkan melalui aplikasi telefon bimbit juga ada rakaman mushaf dan terjemahannya. Tinggal lagi ialah kemahuan untuk membaca Al-Quran dan juga terjemahan makna ayat-ayatnya serta huraian tafsirnya.


Dengan cara itu, tambahnya, akan sempurnalah keinginan untuk pandai membaca Al-Quran untuk mendapat petunjuk dan rahmat Allah begitu juga dengan mendengar bacaan ayat-ayat Al-Quran.


Terdahulu, Yang Berhormat berucap menyatakan telah menyambut baik inisiatif NQLC dan seterusnya mengucapkan syabas, tahniah atas kegigihan mereka bagi membantu sebahagian anggota masyarakat Brunei mendekatkan diri kepada Al-Quran.


Sesungguhnya NQLC ini telah memberi kemudahan kepada para pelajar yang berkeinginan untuk mempelajari dan menghidupkan Al-Quran dalam diri mereka, bukan sahaja sebagai bacaan harian bahkan akan menjadi amalan sepanjang hayat.


Seterusnya ujarnya, terdapat pula laluan kemudahan kepada para guru untuk berkhidmat mengajar Al-Quran. "Dalam hal ini ialah para pelajar dan para guru yang mengajar dan berkhidmat di NQLC ini. Mereka disifatkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai orang yang terbaik dan paling utama antara kita. Pelajar kerana belajar dan guru kerana mengajar.


"Kita jangan lupa bahawa NQLC ini diusahakan dan dikembangmajukan dengan kelolaan yang baik oleh ketiga-tiga mereka itu," kata Yang Berhormat lagi.


Oleh itu, Yang Berhormat seterusnya menyatakan, sesungguhnya mereka yang mengusahakan dan seterusnya mengelolakan NQLC ini adalah wajar dan layak pula menjadi sebahagian orang yang terbaik dan yang paling utama yang disebutkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam itu.


Seterusnya pada majlis tersebut, Yang Berhormat juga menyampaikan sijil kepada para pelajar dari ketiga-tiga cawangan Nuqra. Para pelajar diraikan terdiri daripada pelbagai kategori pembelajaran seperti Nuqra Asas, Nuqra Tajwid dan Khatam Al-Quran 30 Juzuk.


Juga hadir, Pengarah Urusan Nuqra, Sukmawati Dewi binti Masduki.


Majlis Mega Konvokesyen Nuqra 2024 kali ini meraikan kejayaan lebih 200 pelajar dengan harapan NQLC agar dapat terus menyediakan pendidikan Al-Quran yang berkualiti tinggi kepada semua lapisan masyarakat juga permulaan demi melahirkan generasi yang mencintai kitab suci al-Quran.​

 

Close