Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sendirian Berhad
MUARA, Khamis, 7 November. - Kira-kira 57 kakitangan dan pengurusan Hengyi Industries Sendirian Berhad (Hengyi Industries) telah menyertai Kempen Derma Darah yang diadakan di Bangunan Pentadbiran, Pulau Muara Besar (PMB), hari ini.
Kempen Derma Darah anjuran Hengyi Industries dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) itu merupakan kali ke-6 ia diadakan.
Sebanyak 57 pain darah telah berjaya dikumpulkan dan akan digunakan untuk membantu meningkatkan stok bekalan bank darah di Negara Brunei Darussalam.
Di bawah inisiatif Hengyi Cares, kempen tersebut adalah sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Hengyi Industries sejak tahun 2019 untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menderma darah dengan niat untuk membantu menyelamatkan nyawa serta juga membantu menyebarkan kesedaran tentang kepentingan dan faedah menderma darah.
Hengyi Industries berharap dapat menganjurkan lebih banyak Kempen Derma Darah dan inisiatif lain di bawah Hengyi Cares untuk mengukuhkan lagi kesejahteraan masyarakat dan memupuk budaya memberi kembali.