Usaha bersepadu memupuk budaya keselamatan jalan raya





Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman





SALAMBIGAR, Rabu, 30 Oktober. - Di antara peranan asas dan tanggungjawab Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui Pelan Strategik MTIC, perancangan dan peluang-peluang penambahbaikan yang dikenal pasti adalah ke arah meningkatkan dan memantapkan lagi sumbangan sektor pengangkutan dan infokomunikasi di dalam pembangunan negara, dalam menjamin keselamatan sektor pengangkutan dan menjadi pemudah cara bagi mendukung kemajuan ekonomi dan pembangunan negara yang mampan.


Menurut Perangkaan Sektor Pengangkutan dan Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam tahun 2012-2022, terdapat lebih dari 400,000 buah kenderaan telah didaftarkan (termasuk kenderaan yang tidak dilesenkan dan tidak aktif di jalan raya).


Manakala, perangkaan jumlah kenderaan yang memperbaharui lesen dan aktif di jalan raya secara purata adalah melebihi 200,000 kenderaan setiap tahun.


Semua pemilik dan pemandu kenderaan ini merupakan sasaran atau 'target audience' bagi program Kempen Isi Selamat, Rasa Selamat atau Fill Safe, Feel Safe Campaign ini.


Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha semasa berucap selaku tetamu kehormat pada


Majlis Perasmian Kempen 'Isi Selamat, Rasa Selamat' (Fill Safe, Feel Safe - FSFS) yang diadakan di One City Shopping Complex, di sini.


Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi juga mengongsikan bahawa, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) terus melaksanakan usaha bersepadu dengan agensi-agensi berkepentingan lain bagi menjadikan jalan raya lebih selamat untuk semua pengguna.


Menurut Yang Berhormat, beberapa inisiatif telah pun diungkayahkan seperti melaksanakan aktiviti ko-kurikulum keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah bagi memupuk budaya keselamatan Jalan Raya bagi semua pengguna; membuat rangka kerja dan kerjasama dengan pihak Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam mengendalikan program / aktiviti / kempen ke arah meningkatkan lagi keselamatan jalan raya; menjalankan Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa (International Road Assessment Program - IRAP) Lebuhraya dan Jalan Utama; membarigakan Highway Code edisi 2023 yang telah dikemas kini dan dilancarkan, yang mana edisi tersebut juga menekankan perihal tingkah laku semasa memandu; dan menjalankan kegiatan penguatkuasaan.


Pada tahun 2023 jelasnya, sebanyak 235 kegiatan penguatkuasaan melalui sekatan jalan raya dan 14 Operasi Sepadu telah dijalankan bersama pihak Pasukan Polis Diraja Brunei.


Tambahnya lagi, terdapat penurunan jumlah kes fatal akibat kemalangan jalan raya iaitu daripada 20 kes bagi tahun 2022 kepada 14 kes bagi tahun 2023. Manakala bagi kes mengakibatkan kecederaan disebabkan kemalangan jalan raya telah meningkat kepada 364 bagi tahun 2023.


Namun begitu tekannya, kita berpendapat 'every accident is one too many'. Oleh itu, adalah disarankan semua pihak terutama pengguna jalan raya bekerjasama dalam memastikan keselamatan semua.


Yang Berhormat seterusnya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sendirian Berhad (BSM) serta pemilik-pemilik stesen minyak di atas usaha berterusan dalam komitmen mengungkayahkan kempen-kempen ini agar cita-cita menjadikan tapak stesen minyak bebas dari insiden tercapai terutamanya dengan jumlah pemandu yang tinggi di Negara Brunei Darussalam.


Dalam ucapannya, Yang Berhormat juga menzahirkan penghargaan kepada Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam, MKKJR, Safety, Health and Environment National Authority (SHENA) dalam usaha bersepadu Perkongsian Awam Swasta atau Public-Private Partnership dalam meningkatkan pembangunan negara untuk memupuk pihak pengguna yang berhemah, bertanggungjawab dan berdisiplin.


Statistik negara tambahnya, telah mencatatkan jumlah penurunan insiden di stesen-stesen minyak di seluruh negara semenjak tertubuhnya kempen ini dengan penunjuk prestasi utama (KPI) BSM dalam menjalankan tugas memberi kesedaran dan peneguran.

 

Close