Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Azmah Haji Ahad
BANGAR, TEMBURONG, Sabtu, 12 Oktober. - Islam menggalakkan keseimbangan mental dengan memberi perhatian kepada aspek kerohanian. Penekanan kepada amalan kerohanian dan penerapan terapi Islam dalam kehidupan seharian perlu ditekankan oleh individu dalam menghadapi kesukaran hidup seharian.
Perkara tersebut adalah antara inti pati ceramah bertajuk '#lakastah Santai' pada Forum Daerah-daerah Majlis Ilmu 2024 bersempena dengan acara Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78 Tahun, berlangsung di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Mukim Bangar, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.
Tiga ahli panel dijemput bagi menjayakan forum berkenaan terdiri daripada Pegawai Psikologis, Unit Psikologi Klinikal, Kementerian Kesihatan, Dayang Nor Shahzuani binti Haji Azaman; Penolong Professor, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr. Kamarussalam bin Yusof dan Da'ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Dayang Hurul Ain Diyana binti Haji Abdul Majid@Vieana.
Dr. Kamarussalam dalam perkongsiannya antara lain menyebut mengenai Al-Quran yang Allah Subhanahu Wata'ala turunkan sebagai sumber rujukan umat manusia.
Setiap ayat kandungan dan huruf Al-Quran itu tambahnya ada jawapan kepada setiap perkara atau masalah dan ia tidak boleh diubah sama sekali. Kemungkinan ia tidak memberikan jawapan secara terus, namun nanti kita akan menyedari bahawa ada jawapannya.
Sementara itu, Da'ie Bertauliah MUIB, Dayang Hurul Ain Diyana pula menjelaskan, Allah Subhanahu Wata'ala menjadikan Al-Quran sebagai As-Syifa iaitu sebagai penyembuh kepada hati manusia.
Menurutnya, ada tiga perkara atau waktu bila seseorang Muslim perlu meluangkan untuk Al-Quran iaitu waktu untuk Tilawah Al-Quran, Tadabbur Al-Quran dan menghafal Al-Quran.
“Apabila kita selalu bersama Al-Quran, ia akan memberi ketenangan apabila membaca atau mendengar Al-Quran. Selain itu, apabila kita berinteraksi dengan Al-Quran, sel-sel otak dan tubuh juga akan memberi kesan. Al-Quran 'offer this healing method' kepada kita semua," jelasnya.
Selain itu tambahnya, apabila seseorang itu menghadapi sesuatu ujian, tetaplah teguh dalam mendirikan sembahyang, kerana sembahyang memperkuatkan iman kita dan tempat kita memohon kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Manakala Pegawai Psikologis, Unit Psikologi Klinikal, Kementerian Kesihatan, Dayang Nor Shahzuani pula menekankan bahawa adalah penting untuk menggabungkan sains dan perspektif Islam dalam kesihatan mental.
Kita sebagai manusia jelasnya semua akan terdedah kepada tekanan psikologi yang membawa kepada masalah kesihatan mental yang serius jika dibiarkan dan tidak dirawat. Isu-isu kesihatan mental adalah benar dan ia harus dirawat secara holistik.
Justeru, beliau menegaskan, mintalah bantuan jika perlu kerana meminta bantuan bukan erti melawan agama, malah ia adalah satu cara kita menghargai kehidupan yang Allah Subhanahu Wata'ala berikan kepada kita.
Melihat kepada kepentingan isu kesihatan mental yang dihadapi oleh dunia dan juga Negara Brunei Darussalam tema 'Menangani Gejala Mental' telah dipilih sebagai fokus utama Majlis Ilmu 2024.
Dengan penekanan kepada aspek pencegahan, rawatan dan sokongan komuniti, tema ini diharapkan dapat memberikan panduan yang berkesan untuk memperbaiki kesejahteraan mental di Negara Brunei Darussalam.