BIBD Connects : Menyediakan kemudahan moden untuk perusahaan tempatan



Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi/Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

 

 

TEMBURONG, Selasa, 1 Oktober. - Projek BIBD Connects akan memulakan kerja-kerja pembinaannya di atas keluasan tanah seluas 3,135 meter persegi terletak di Labu Square di Kampung Perdayan dan akan dijangka siap pada tahun hadapan.

 
Sehubungan dengan itu, Majlis Mendirikan Tiang Asas Bangunan BIBD Connects Temburong disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku Pengerusi BIBD.

 
Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, yang juga selaku Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-piasau; Setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri; Pengurusan Kanan BIBD dan kakitangan, serta wakil dari Jabatan Daerah Temburong.

 
Adapun pembinaan BIBD Connects Temburong adalah untuk menjadi projek infrastruktur terkini yang bertujuan untuk meningkatkan penglibatan masyarakat dan menyediakan kemudahan moden untuk perusahaan tempatan.

 
Perkembangan berkenaan sejajar dengan komitmen BIBD dalam memupuk pertumbuhan yang mampan dan holistik merentasi semua daerah di negara ini.

 
Projek berkenaan merupakan bangunan dua tingkat yang direka bentuk dengan kelestarian dan kesedaran alam sekitar sebagai terasnya. Menampilkan reka bentuk cekap tenaga, bangunan berkenaan akan menggabungkan penuaian air hujan dan panel solar untuk menyalakan lampu, memastikan kesan minimum terhadap alam sekitar.

 
Elemen hijau berkenaan mencerminkan inisiatif kemampanan BIBD yang lebih luas, juga dilihat dalam ciri mesra alam cawangannya di Bandar Seri Begawan, mengukuhkan lagi komitmen bank terhadap infrastruktur hijau.

 
Projek yang dijalankan di Temburong akan menampilkan kemudahan utama untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk setempat dan ini termasuk perkhidmatan (Automated Teller Machine-ATM), ruang boleh sewa untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS), serta makanan dan minuman (Food and Beverage -F&B) untuk penyewa utama.

 
Justeru, kemudahan BIBD Connects direka bentuk sebagai hab komuniti, menggabungkan perkhidmatan perbankan dengan peluang runcit, memastikan akses kepada perkhidmatan penting sambil menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan.

 
BIBD Connects Temburong akan menawarkan ruangan sewa yang direka khusus untuk PKS dengan menyediakan platform kepada usahawan tempatan bagi menjana pendapatan dan mengembangkan perniagaan mereka, menyumbang kepada pembangunan keseluruhan Daerah Temburong.

 
Dengan menawarkan ruang mampu milik dan boleh diakses, ia bertujuan memperkasa tempatan perusahaan untuk berkembang maju dalam pasaran yang kompetitif.

 
Bangunan berkenaan juga akan menampilkan pusat ruang komunal, menawarkan ruang pelbagai guna bagi penyelenggaraan pelbagai acara termasuk perhimpunan sosial, bengkel dan fungsi korporat.

 
Dengan susunan tempat duduk yang fleksibel dan elemen reka bentuk moden serta ruang yang menyediakan persekitaran menarik bagi acara formal mahupun santai.

 
Perkembangan berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen berterusan BIBD untuk menyumbang ke arah Wawasan Brunei 2035, yang mengutamakan kepelbagaian ekonomi yang mampan dan pertumbuhan yang seimbang.

 
Kemudahan BIBD Connects di bumi Permata Hijau berkenaan memainkan peranan penting dalam memastikan semua daerah mempunyai infrastruktur dan peluang yang diperlukan untuk berkembang lebih maju.

 
Projek berkenaan juga mengukuhkan komitmen BIBD untuk memastikan pembangunan di semua daerah di Negara Brunei Darussalam dan BIBD kekal sebagai satu-satunya bank yang mengekalkan cawangan penuh Temburong, seterusnya menekankan dedikasinya untuk membawa perkhidmatan perbankan penting kepada
seluruh pelosok negara.

 
Dengan membangunkan kemudahan mesra alam yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, BIBD sedang mengambil langkah yang bermakna untuk menyokong Wawasan Brunei 2035 untuk masa hadapan yang mampan.​

Close