Al-Quran jadi panduan dalam mengurus gejala kesihatan mental



Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani/Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 1 Oktober. – Majlis Ilmu 2024 terus dimeriahkan dengan Seminar Majlis Ilmu bagi sesi pertama yang membincangkan sub-tema 'Kesihatan Mental dan Ugama' yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, pagi tadi.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.


Kertas kerja yang bertajuk 'Kaedah Mengurus Gejala Kesihatan Mental Menurut Al-Quran' disampaikan oleh Naib Canselor, Universiti Islam Selangor, Yang Berbahagia Profesor Dato' Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah.


Dalam kertas kerja beliau menyentuh mengenai faktor-faktor yang dikenal pasti menyumbang terhadap peningkatan masalah gangguan kesihatan mental yang berlaku dalam pelbagai golongan dan tahap umur dengan Islam menggalakkan keseimbangan mental dengan memberi perhatian kepada aspek kerohanian.


Menurutnya lagi, kaedah yang dikemukakan oleh Al-Quran boleh dijadikan panduan dalam mengurus gejala kesihatan mental yang dihadapi dengan berkesan.


Manakala, Profesor Dr. Nehaluddin Ahmed dari Fakulti Undang-undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menyampaikan kertas kerja bertajuk 'Integrating Religious Perspectives into Mental Health Legislation : A Holistic Approach to Human Rights and Well-Being in Brunei Darussalam'.


Beliau mengetengahkan bahawa undang-undang yang berkaitan dengan kesihatan mental yang melindungi hak pesakit kesihatan mental adalah tidak mencukupi jika ia mengabaikan dimensi agama, kepercayaan atau orientasi transendental dengan undang-undang berkenaan bertujuan untuk melindungi. 


Sewajarnya terangnya lagi, perspektif agama terhadap penyakit mental perlu diselaraskan untuk menyokong inisiatif kontemporari seperti hak asasi manusia yang berusaha untuk meningkatkan kehidupan rakyat oleh penggubal dasar, cendekiawan, doktor dan organisasi antarabangsa yang bekerja dalam bidang kesihatan mental.


Sementara itu, kertas kerja yang bertajuk 'Pengembangan Kecerdasan Emosi Melalui Penghayatan Sunnah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Sebagai Asas Pemerkasaan Kesihatan Mental : Satu Pendekatan Psikospiritual Islam' disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Bahagian Kaunseling dan Kefahaman Agama, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid, yang membincangkan mengenai pengembangan Kecerdasan Emosi (EI) melalui penghayatan Sunnah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai asas untuk memperkasa kesihatan mental, yang berlandaskan kepada pendekatan psiko spiritual Islam.


Turut hadir ialah Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi  (Fiskal), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, selaku Pengerusi-pengerusi Bersama; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha-setiausaha Tetap, Rektor UNISSA, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan, para jemputan khas, para pembentang kertas kerja, pegawai dan kakitangan dari pelbagai kementerian dan jabatan.


Tema Majlis Ilmu 2024 ialah 'Menangani Gelaja Mental' diharap dapat meningkatkan pengetahuan dan kefahaman serta kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kesihatan mental dalam kehidupan seharian.


Orang ramai adalah dialu-alukan untuk sama-sama hadir ke Seminar Majlis Ilmu 2024 yang akan diteruskan pada Rabu, 2 Oktober 2024 bertempat di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas dan sesi forum daerah-daerah yang akan diadakan pada Sabtu, 12 Oktober 2024 di Dewan Kemasyarakatan Belalong, Daerah Temburong; Sabtu, 19 Oktober 2024 di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas; Selasa, 22 Oktober 2024 di Dewan Ma'had Islam Brunei, Daerah Tutong; dan seminar terakhir pada Khamis, 24 Oktober 2024 di Pusat Insani, Seria, Daerah Belait.​

Close