Gandakan usaha promosi produk Mastera ke peringkat antarabangsa



Oleh : Haniza Abdul Latif/Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

 




GADONG, Selasa, 1 Oktober. - Mastera sudah mencapai usia 29 tahun sejak Deklarasi Mastera pada 25 Ogos 1995, dan penubuhannya mempunyai hala tuju yang jelas dan penting, iaitu bagi merapatkan hubungan, pengertian dan kerjasama kesusasteraan negara-negara anggota dalam usaha memajukan dan mengembangkan kesusasteraan serantau ke arah menjadi warga sastera dunia yang berwibawa dan juga mengusahakan peluang-peluang bersama untuk para sasterawan memajukan bakat, penterjemahan, penerbitan dan pengiktirafan terhadap pencapaian mutu ciptaan sastera ke peringkat rantau dan antarabangsa.


Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, berkata demikian semasa Majlis Perasmian Sidang Ke-28 Mastera, Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT), Festival Teater Mastera (Apresiasi Naskhah Drama) dan penyampaian Anugerah Sastera Mastera Ke-7, 2024 bertempat di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini.


Berucap selaku tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, banyak projek kesusasteraan telah dilaksanakan dengan jayanya terutama dalam kerja-kerja penelitian, penyelidikan, penyusunan dan penerbitan yang mendukung pemartabatan sastera dan bahasa Melayu.


Yang Berhormat turut menyarankan antara yang boleh diusahakan dalam ledakan teknologi informasi dan komunikasi ini, melalui Mastera ialah menggandakan usaha mempromosi semua produk Mastera berkenaan agar penyebarannya mencapai ke negara-negara di luar dari anggota Mastera, malah sehingga di peringkat antarabangsa.


Menurut Yang Berhormat, perkara tersebut dilihat sebagai sesuatu yang signifikan agar masyarakat di luar sana mengetahui kewujudan Mastera ini bersama kegiatan-kegiatannya dan seterusnya Mastera diiktiraf oleh negara luar dan antarabangsa.


Kejayaan pelaksanaan projek dan aktiviti Mastera di atas tambah Yang Berhormat, adalah berdasarkan Pelan Strategik Mastera 2016 - 2020, iaitu memantapkan fungsi negara anggota Mastera bagi memastikan proses memartabatkan sastera Melayu / Indonesia sama ada di peringkat negara mahupun peringkat antarabangsa berjalan dengan tersusun serta dapat dilaksanakan secara efektif.


Yang Berhormat juga dimaklumkan bahawa Mastera telah mengusulkan satu Pelan Strategik Mastera yang baharu bagi tahun 2023 - 2027 bagi menggantikan Pelan Strategik Mastera 2016 - 2020, dan difahamkan bahawa tinjauan semula Pelan Strategik Mastera (2023 - 2027) adalah bertujuan supaya pelaksanaan program / projek / acara Mastera dapat diselaraskan supaya negara-negara anggota dapat memaksimumkan kecekapan dan memastikan keberkesanan program-program Mastera untuk jangka masa panjang.


Menyentuh mengenai penyampaian Anugerah Sastera Mastera kepada empat orang tokoh sasterawan yang dinilai dari setiap Negara Anggota Mastera, iaitu Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura, Yang Berhormat berkata, anugerah ini merupakan sebuah pengiktirafan besar daripada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sekali gus menandakan sokongan dan dukungan yang jelas kepada dunia kesusasteraan, terutama sekali kepada tokoh-tokoh sastera yang memberikan sumbangan yang signifikan.


Anugerah ini jelas Yang Berhormat, bukan sahaja sebagai simbol kejayaan peribadi para penerima, tetapi juga merupakan pengiktirafan dan penghargaan terhadap komitmen yang telah diberikan selama ini dalam dunia penulisan dan kegiatan sastera Melayu.


Dalam kesempatan itu, Yang Berhormat turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada keempat-empat orang tokoh sastera yang akan menerima Anugerah Sastera Mastera nanti.

Close