Perasmian Sidang Ke-28 Mastera



Oleh : Haniza Abdul Latif/Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

 




GADONG, Selasa, 1 Oktober. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku Sekretariat Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) Brunei Darussalam pada tahun ini menjadi tuan rumah bagi mengendalikan Sidang Ke-28 Mastera dan Rangkaian Kegiatan Mastera, 2024.

 

Sehubungan itu, Majlis Perasmian Sidang Ke-28 Mastera, Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT), Festival Teater Mastera (Apresiasi Naskhah Drama) dan penyampaian Anugerah Sastera Mastera Ke-7, 2024, berlangsung malam tadi di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini.

 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan perasmian majlis, pelancaran buku-buku baharu terbitan DBP dan menyampaikan pengiktirafan Anugerah Sastera Mastera Ke-7, 2024 ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah DBP, Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit selaku Pemangku Pengerusi Mastera Brunei Darussalam, yang antara lain menjelaskan, Sidang Ke-28 Mastera yang akan diadakan ini nanti dapat mencapai keputusan yang akan memberikan impak positif kepada negara masing-masing.

 

Tambahnya, usaha perlu dipertingkatkan agar sastera Melayu lebih dikenali, diterima dan diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat kerana khalayak sastera merupakan salah satu komponen penting dalam menjaga kelangsungan sastera.

 

Menurutnya lagi, dalam mencapai misi dan visi penubuhannya, Mastera telah menubuhkan Opera, iaitu sebuah tim yang terbentuk daripada alumni Program Penulisan Mastera.

 

Opera jelasnya, ditubuhkan sebagai usaha untuk melahirkan lebih ramai penggiat sastera yang akan menjadi penggerak kepada kegiatan-kegiatan sastera.

 

Malah katanya, peranan Opera peringkat rantau Mastera ini juga mencakupi dalam membina dan mengembangkan kesusasteraan Melayu di peringkat Mastera khasnya dan sastera Asia Tenggara amnya.

 

Kemudian, majlis diteruskan dengan pengumuman tokoh-tokoh penerima Anugerah Sastera Mastera Ke-7, 2024 bagi keempat-empat tokoh penerima disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Panel Penilai Pusat Anugerah Sastera Mastera Ke-7, 2024.

 

Penerima-penerima Anugerah Sastera Mastera Ke-7, 2024, bagi setiap negara ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman (Badaruddin H.O.) dari Negara Brunei Darussalam (NBD); Taufiq Gaffar Ismail (Taufiq Ismail) dari Indonesia; Yang Berbahagia Sasterawan Negara (SN) Dato' Seri (Dr.) Abdul Samad bin Mohamed Said (A. Samad Said) dari Malaysia; dan Encik Djamal Tukimin (Djamal Tukimin) dari Singapura.

 

Penyampaian Anugerah Sastera Mastera Ke-7, 2024 disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda kepada penerima dan wakil penerima.

 

Tokoh-tokoh sastera menerima wang tunai bernilai BND3,000, sijil pengiktirafan berbentuk plak dan kain tenunan.

 

Anugerah Sastera Mastera merupakan projek pengiktirafan Mastera Brunei Darussalam yang dianugerahkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai tanda sokongan, dukungan dan pengiktirafan kepada tokoh-tokoh penulis yang diiktiraf di peringkat rantau Mastera.

 

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada para penerima anugerah dan lawatan ke pameran mini Mastera.

 

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan; Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Ketua-ketua dan Perwakilan Negara Anggota Mastera, iaitu NBD, Indonesia, Malaysia dan Singapura, mantan-mantan pengarah dan timbalan pengarah DBP, tokoh-tokoh penulis sastera, serta persatuan dan penggiat seni sastera, bahasa dan budaya di NBD.

 

Majlis Perasmian turut dijayakan oleh syarikat-syarikat penaja, iaitu Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Syarikat Brunei Shell Petroleum Sdn. Bhd. (BSP), Kumpulan PUTRA Seni (KPS), Syarikat Little Ummi dan Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) Brunei Darussalam.

Close