30 graduan Program Biasiswa Bersama diraikan




Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sdn. Bhd.





 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 September. – Seramai 30 graduan daripada Program Biasiswa Bersama Hengyi Industries Sdn. Bhd. (Hengyi Industries) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) diraikan selepas menamatkan pengajian dengan Universiti Zhejiang (ZJU).

 

Majlis yang diadakan di Dewan Canselor UBD itu disempurnakan oleh Naib Canselor UBD, Dr. Awang Hazri bin Haji Kifle.

 

Terdahulu, majlis dimulakan dengan ucapan alu-alun daripada Dekan Fakulti Teknologi Bersepadu UBD, Dr. Dayang Juliana Haji Zaini yang antara lain menyampaikan penghargaan di atas daya tahan, komitmen dan pencapaian cemerlang para graduan.

 

Beliau juga mengagumi akan keupayaan mereka untuk mengatasi cabaran sepanjang perjalanan akademik mereka, yang berlangsung di dua universiti terkenal.

 

Manakala Jerick Yap Raymundo turut menyampaikan ucapan bagi pihak pelajar mengenai pengalaman yang diperolehi, pertumbuhan peribadi dan aspirasi kohort yang secara tidak langsung menguatkan ikatan yang terbentuk semasa mereka dalam program itu.

 

Kemuncak majlis ialah penyampaian sijil tamat pengajian kepada 30 graduan, yang masing-masing berjaya menamatkan pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dan Proses di ZJU.

 

Kerja keras, dedikasi dan pencapaian akademik mereka diiktiraf apabila mereka menerima sijil, menandakan kesediaan mereka untuk memasuki dunia profesional.

 

Para graduan kali ini mewakili kumpulan ke-10 di bawah program berkenaan. Program empat tahun yang ini termasuk dua tahun pengajian akademik di UBD, diikuti dengan satu tahun di ZJU, dan diakhiri dengan enam bulan latihan industri dan latihan selama enam bulan dengan Hengyi Industries.

 

Setelah menamatkan pengajian akademik dan latihan praktikal selama tiga tahun, para graduan hampir menamatkan perjalanan pendidikan mereka. Dengan hanya dua semester lagi, mereka kini dipersiapkan untuk memulakan kerjaya yang menjanjikan dalam industri petrokimia dengan Hengyi Industries, dilengkapi dengan pengetahuan dan pengalaman untuk berkembang maju dalam peranan masa depan mereka.

 

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai dan seterusnya menikmati jamuan.


Close