Manfaatkan terapi seni dalam penjagaan kesihatan mental



​​​


Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman






GADONG, Sabtu, 21 September  - Dalam beberapa tahun kebelakangan ini kesihatan mental telah dikenal pasti sebagai kebimbangan kesihatan awam yang serius, dan oleh itu, memelihara dan menjaga kesejahteraan kita adalah amat penting. 


Bahkan, terdapat hampir satu bilion orang yang hidup dengan gangguan mental di seluruh dunia pada masa ini.


Perkara itu ditekankan oleh Ketua Pengarah, Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr. Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail dalam ucapannya pada Forum Canvas of Calm yang diadakan di Garden's Veranda, Rimba, di sini.


Jelasnya, gangguan mental merangkumi beberapa simptom daripada yang ringan seperti kerisauan kepada yang serius seperti keabnormalan tingkah laku.


Di Negara Brunei Darussalam (NBD) katanya, terdapat lebih 11,000 orang yang berdaftar sebagai pesakit dengan perkhidmatan kesihatan mental tempatan, dan jumlah ini dijangka akan meningkat.


Oleh itu adalah dijangka bahawa keperluan kesihatan mental dan intervensi psikososial tambahnya, mungkin akan meningkat juga pada tahun-tahun akan datang.


Menurut beliau lagi, ini memerlukan pelaburan yang lebih baik dan juga inovatif termasuk penggunaan terapi seni sebagai sebahagian daripada program, sokongan dan perkhidmatan rawatan kesihatan mental.


"Terapi seni adalah semakin popular dalam bidang kesihatan mental di seluruh dunia kerana ia menyediakan pendekatan berorientasikan pemulihan (recovery-oriented), berpusatkan orang (person-centred) yang merangkumi keperluan emosi, rohani, sosial dan keperluan klinikal.


"Oleh itu terapi seni boleh berfungsi sebagai kaedah yang bernilai tinggi dan dapat melengkapkan rawatan penjagaan kesihatan mental tradisional seperti kaunseling atau ubat-ubatan dan berfungsi untuk meningkatkan fungsi kognitif, daya tahan emosi dan keyakinan diri," tegas beliau.


Forum tersebut dihadiri lebih daripada 80 orang mewakili dari Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, JobCentre, syarikat-syarikat yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan pekerja, ibu bapa, guru dan pelajar dari Pusat Ehsan, ABLE Brunei, Pusat Bahagia Eric Goh, Pusat Bahagia Pulaie dan La Vida Brunei, kaunselor serta individu.


Forum ini diisikan dengan taklimat yang disampaikan oleh Penceramah utama, Dr. Amanda Woodford yang mempunyai pengalaman antarabangsa yang luas dan adalah ahli Terapi Seni Kreatif berdaftar yang berasal dari New Zealand.


Beliau juga merupakan Penyelia yang diluluskan dengan ANZACATA (badan profesional yang mewakili ahli Terapi Seni Kreatif di Australia, New Zealand dan rantau Asia/Pasifik) dan seorang akademik dengan The MIECAT Institute di Naarm Melbourne, Australia, serta Artis Mixed-Media.


Selain itu, Dr. Woodford juga berkongsi pengalamannya dalam seni dan pembuatan seni dalam terapi, kesejahteraan komuniti, pendidikan, penyelidikan, penyeliaan dan amalan penjagaan diri.


Dr. Woodford seterusnya mengongsikan faedah amalan seni sambil mempertimbangkan kebolehan dan kesukaran, termasuk penggunaan alat dan ruang membuat seni serta menawarkan teknik berasaskan seni yang dia dapati menyokong dan mungkin dapat membantu dalam berkomunikasi 'apa yang penting' apabila perkataan sahaja tidak mencukupi atau gagal dalam tajuk pembentangannya 'Membuat, Berkongsi, dan Membaiki'.


Ini diteruskan dengan taklimat kedua daripada Ahli Terapi Seni terlatih warga Brunei di Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), Dayang Nur Nadiah binti Suhailli.


Dayang Nur Nadiah  adalah seorang ahli dalam Persatuan Seni Kreatif Australia, New Zealand dan Asia (ANZACATA) dan bekerja dengan individu yang mempunyai pelbagai kecacatan fizikal, kognitif dan mental dari pelbagai latar belakang termasuk remaja, dewasa dan warga emas.


Dalam taklimatnya, Dayang Nur Nadiah turut menerangkan tentang terapi seni yang merintis di negara ini berdasarkan pengalamannya dalam masyarakat dan juga di hospital.


Dayang Nur Nadiah juga berkongsi pengalamannya bekerja dengan orang kelainan upaya (gangguan neurologi seperti strok, sawan, individu yang mengalami sakit kronik/migrain dan kanser) dan bagaimana mereka mendapat manfaat daripada pembuatan seni.


Seterusnya beliau mengetengahkan manfaat terapi seni dan cabaran terapi seni di negara ini.


Forum itu diselitkan dengan satu sesi 'fireside chat' di mana beberapa orang ahli panel dari pelbagai latar belakang seperti Moi Sun, Awang Haji Padzil bin Haji Ahmad, Nasihin Lisa dan Danish juga mengongsikan kisah peribadi dan inspirasi mereka di mana mereka memanfaatkan seni dalam memperkasakan diri.


Forum yang dianjurkan oleh Syarikat SynARTgy dengan sokongan Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan bertemakan 'Memanfaatkan Seni untuk 'Healing' dan Kesejahteraan' merupakan yang pertama seumpamanya diadakan di negara ini.


Antara objektifnya adalah untuk meneroka aspek terapeutik seni sebagai kaedah yang berkesan untuk pengawalan diri, ekspresi emosi dan kesejahteraan secara keseluruhan, untuk mengkaji kesan menenangkan (calming effect) seni dan keupayaannya untuk menyediakan ruang yang selamat (safe space) untuk memproses emosi dan pengalaman, memberikan strategi yang praktikal dengan menggunakan seni sebagai mekanisme mengatasi serta memfokuskan pada keterangkuman terapi seni, kebolehcapaian dan potensi manfaatnya untuk individu dari pelbagai latar belakang dan kebolehan.


Objektif forum ini juga adalah selaras dengan misi kolektif untuk memastikan NBD sebagai sebuah negara yang sihat dari segi mental dan juga berdaya tahan seperti yang dinyatakan dalam Pelan Tindakan Kesihatan Mental Negara Brunei Darussalam 2022 – 2025 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.


Adalah diharapkan forum ini dapat merangsang perbincangan dan proses pemikiran seterusnya untuk meluaskan manfaat seni yang dimanfaatkan untuk kebaikan yang lebih besar untuk masyarakat dan juga untuk individu di NBD dan ke luar negara.


Sementara itu, bengkel secara praktikal juga diadakan pada sebelah petang di sebuah hotel di Kiulap di mana peserta-peserta telah dibekalkan satu 'toolkit' untuk mengalami beberapa kesan terapeutik terapi seni untuk menyokong kesejahteraan di bawah bimbingan Dr. Woodford dan Dayang Nur Nadiah.


Penaja-penaja emas bagi forum tersebut ialah Brunei Shell Petroleum (BSP) dan Royal Brunei Airlines (RB).


Close