Manfaatkan hubungan diplomatik demi kemajuan bersama



​​


Oleh : Muhammad Khairulanwar Ali Rahman, Srinarawie Bidzah, Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 September. - Atas jemputan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Perdana Menteri Republik India, Tuan Yang Terutama Shri Narendra Modi, mengadakan Lawatan Rasmi ke Negara Brunei Darussalam (NBD) pada 3 hingga 4 September 2024.


Ini merupakan lawatan pertama TYT serta lawatan dua hala pertama oleh Perdana Menteri Republik India ke NBD.


Setibanya di NBD, Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Republik India, disambut oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.


Semasa Lawatan Rasmi tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengadakan Mesyuarat Dua Hala dengan TYT dan menghoskan Majlis Persantapan Rasmi untuk TYT di Istana Nurul Iman.


Kedua-dua pemimpin melahirkan rasa puas hati kerana lawatan bersejarah ini bertepatan dengan ulang tahun ke-40 terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, dan mengakui bahawa persahabatan yang terjalin di antara NBD dan India semakin kukuh dalam pelbagai bidang sejak empat dekad yang lalu.


Kedua-dua pemimpin mengakui bahawa NBD dan India berkongsi hubungan sejarah yang wujud sejak berabad-abad lalu, dipermudahkan oleh interaksi budaya dan perdagangan. Pembentukan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada tahun 1984 menandakan permulaan perkongsian yang berkekalan.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia merakamkan penghargaan atas sumbangan berharga masyarakat India merentasi pelbagai profesion di negara ini kepada pembangunan sosioekonomi dan negara.


Menggambarkan kemajuan cemerlang selama ini dalam hubungan dua hala, kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen mereka untuk terus mengukuhkan, memperdalam dan meningkatkan perkongsian dalam semua bidang kepentingan bersama.


Kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai isu termasuk pertahanan, perhubungan, perdagangan dan pelaburan, tenaga termasuk tenaga boleh diperbaharui, ruang angkasa, ICT, kesihatan dan farmaseutikal, pendidikan dan pembinaan kapasiti, budaya, pelancongan, belia dan pertukaran antara rakyat, serta isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.


Kedua-dua pemimpin mengakui kepentingan interaksi rapat melalui mekanisme dua hala sedia ada dan bersetuju untuk terus mengadakan mesyuarat tetap, pertukaran dan dialog mengenai isu dua hala dan pelbagai hala yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk mengadakan Konsultasi Pejabat Luar secara berkala dan pelbagai mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama.


Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meluaskan lagi perdagangan dua hala dan hubungan ekonomi dalam bidang kepentingan bersama. Kedua-dua pemimpin juga seterusnya menggariskan kepentingan pertukaran dan dialog tetap yang harus diadakan melalui platform utama seperti Jawatankuasa Perdagangan Bersama (Joint Trade Committee - JTC) serta forum dua hala, serantau dan pelbagai hala yang berkaitan.


Kedua-dua pemimpin menyeru untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing termasuk dalam teknologi, kewangan, pembuatan dan pemprosesan dan meneroka pelengkap dengan cara yang saling menguntungkan.


Kedua-dua pemimpin menyedari kepentingan sekuriti makanan dan bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam pertanian dan rantaian bekalan makanan melalui perkongsian pengetahuan, amalan terbaik dan pengalaman.


TYT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada NBD kerana terus menjadi tuan rumah Stesen Telemetri dan Telecommand (TTC) Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO), (Indian Space Research Organisation (ISRO)'s Telemetry Tracking and Telecommand (TTC) Station), yang menyumbang kepada usaha berterusan India, dalam bidang angkasa lepas.


Kedua-dua pemimpin menghargai perjanjian lama di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua kerajaan dan kesimpulan MoU yang diperbaharui mengalu-alukan kerjasama selanjutnya, dalam bidang kepentingan bersama di bawah MoU itu.


Kedua-dua pemimpin mengakui kepentingan meningkatkan kerjasama pertahanan dan maritim termasuk melalui pertukaran lawatan, program latihan, latihan bersama dan lawatan kapal tentera laut dan pengawal pantai antara kedua-dua negara.


Kedua-dua pemimpin melahirkan rasa puas hati dengan persinggahan pelabuhan yang kerap oleh kapal dari kedua-dua negara.

 

Kedua-dua pemimpin juga mengalu-alukan penerbangan langsung di antara Bandar Seri Begawan dan Chennai yang akan memupuk hubungan rakyat dengan rakyat yang lebih kukuh dan memudahkan peningkatan aktiviti perdagangan dan pelancongan antara kedua-dua negara.


Kedua-dua pemimpin juga mengiktiraf peranan penting belia ke arah pembangunan negara dan bersetuju untuk menggalakkan lebih banyak pertukaran belia antara kedua-dua negara.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menghargai dan mengalu-alukan tawaran latihan dan biasiswa oleh Republik India untuk warganegara Brunei di bawah pelbagai program termasuk Program Kerjasama Teknikal dan Ekonomi Republik India (Republik Indian Technical and Economic Cooperation-ITEC) dan juga program e-ITEC.


Dalam kenyataan bersama itu juga, kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen teguh mereka untuk mengekalkan keamanan, kestabilan, keselamatan, kemakmuran dan daya tahan rantau ini, dan menekankan kepentingan mematuhi prinsip-prinsip yang digariskan dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Republik India seterusnya bersetuju untuk memperkukuh kerjasama di pelbagai forum serantau dan pelbagai hala, seperti Hubungan Dialog ASEAN-Republik India, Sidang Kemuncak Asia Timur, Forum Serantau ASEAN, Mesyuarat Asia-Eropah (Asia-Europe Meeting-ASEM), dan PBB.


Kedua-dua pemimpin menegaskan bahawa pematuhan kepada sistem antarabangsa berasaskan peraturan adalah penting untuk memastikan keamanan dan pembangunan.


Dalam pada itu juga, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk bekerjasama ke arah mempertingkatkan multilateralisme yang mencerminkan realiti kontemporari dan mengulangi komitmen mereka untuk bekerjasama rapat dalam bidang yang saling menguntungkan bagi memperkukuhkan lagi Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN – Republik India.


Kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen mereka untuk mengekalkan dan mempromosi keamanan, kestabilan, keselamatan dan keselamatan maritim, serta menghormati terhadap kebebasan pelayaran dan penerbangan serta perdagangan sah tanpa halangan, selaras dengan undang-undang antarabangsa, terutamanya Konvensyen PBB mengenai Undang-undang Laut (United Nations Convention on the Law of the Sea-UNCLOS) 1982.


Seterusnya, menggesa semua pihak menyelesaikan pertikaian melalui cara aman mengikut undang-undang antarabangsa, khususnya UNCLOS 1982.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Republik India juga mengutuk keganasan dalam semua bentuk dan juga manifestasinya serta menyeru negara-negara untuk menolaknya dan seterusnya menekankan bahawa tiada negara harus membenarkan wilayah di bawah kawalan mereka digunakan untuk keganasan, tiada negara harus melindungi pengganas dan bertekad untuk bekerjasama membawa pelaku keganasan ke muka pengadilan.


Menyedari akan keganasan dan jenayah terancang rentas sempadan, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam hal berkenaan. Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama di PBB dan forum pelbagai hala lain untuk memerangi keganasan.


Kedua-dua pemimpin juga bersetuju mengenai keperluan mendesak untuk menangani perubahan iklim dan meningkatkan usaha dalam mengurangkan kesan buruk daripada cabaran yang semakin meningkat ini, selaras dengan objektif iklim antarabangsa, seperti Perjanjian Paris.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menghargai inisiatif Republik India dalam menubuhkan International Solar Alliance (ISA), Coalition for Disaster Resilient Infrastructure (CDRI) dan Global Bio-fuel Alliance (GBA).


Baginda juga turut menghargai sokongan Republik India terhadap usaha NBD menjadi tuan rumah Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ASEAN Centre for Climate Change).


Perdana Menteri Republik India mengalu-alukan penyertaan berterusan NBD dalam Voice of the Global South Summit (VOGSS). Inisiatif yang diketuai oleh Republik India berkenaan bertujuan untuk menghimpunkan negara-negara Global Selatan di bawah platform yang sama untuk berkongsi perspektif dan keutamaan mereka dalam  pelbagai isu.


Perdana Menteri Republik Republik India juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas sambutan dan layanan mesra yang diberikan kepadanya dan juga delegasi sepanjang lawatan berkenaan.


Perdana Menteri Republik Republik India juga turut menjemput Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk mengadakan lawatan ke Republik India dalam masa terdekat.


Close