Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Muhammad Asri Haji Awang Abas, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 September. - Lawatan Rasmi Perdana Menteri Republik India ke Negara Brunei Darussalam (NBD) adalah bertepatan dengan Ulang Tahun Hubungan Diplomatik Ke-40 Tahun antara NBD dan Republik India yang menggariskan komitmen untuk mengukuhkan perkongsian penting kedua-dua negara.
NBD dan Republik India berkongsi persahabatan yang berakar umbi dan hubungan antara rakyat yang kukuh.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menjelaskan perkara itu pada Majlis Persantapan Rasmi bagi meraikan Lawatan Rasmi Perdana Menteri Republik India, Tuan Yang Terutama Shri Narendra Modi, ke NBD yang berlangsung di Istana Nurul Iman.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, masyarakat India di negara ini, dari para pengusaha perniagaan kepada para profesional, telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosioekonomi NBD yang mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.
Titah baginda, NBD dan Republik India boleh meningkatkan kerjasama dalam kesalinghubungan, tenaga, pendidikan dan kesihatan.
"Brunei tetap komited untuk meluaskan kerjasama dengan Republik India dalam bidang-bidang baharu seperti ICT, tenaga yang diperbaharui, pertanian dan industri halal.
"Dalam hubungan ini, kami gembira kerana hari ini menandakan peningkatan hubungan kedua-dua negara kepada 'Enhanced Partnership' yang menjanjikan perkongsian mendalam dan akan menyumbang kepada pertumbuhan dan kestabilan serantau yang lebih signifikan," titah baginda.
Kebawah DYMM seterusnya bertitah, usaha kedua-dua negara meliputi forum-forum serantau dan antarabangsa seperti Hubungan Dialog ASEAN - Republik India.
Hubungan-hubungan ini, titah baginda, berkembang menjadi perkongsian strategik komprehensif, menawarkan lebih banyak peluang dan manfaat bagi rakyat kedua-dua negara.
"Kami menghargai sokongan Republik India terhadap ASEAN Centrality, memastikan rantau ini kekal inklusif, telus dan berdaya saing.
"Ketika kita memandang ke masa hadapan, beta yakin hubungan kita akan terus kukuh dan kita akan merebut peluang bagi membina masa hadapan yang lebih cerah bagi rakyat kedua-dua negara," titah Kebawah DYMM.
Terdahulu, baginda bertitah mengalu-alukan Lawatan Rasmi TYT merupakan satu penghormatan yang besar dan NBD berbesar hati untuk membalas keramahan yang baginda nikmati semasa lawatan ke Republik India dan berkenan mengucapkan tahniah atas pelantikan semula TYT sebagai Perdana Menteri.
Di bawah kepimpinan TYT titah baginda, India telah berubah menjadi salah sebuah ekonomi paling pantas berkembang, bukti wawasan dan bimbingan TYT.
Kebawah DYMM melahirkan keyakinan bahawa India akan terus meningkatkan kedudukan globalnya dan mencapai matlamatnya untuk menjadi ekonomi yang maju sepenuhnya menjelang tahun 2047.