Hengyi Industries anjur Program Jangkauan Pendidikan





Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sdn. Bhd.





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 1 Ogos. - Hengyi Industries Sdn. Bhd. (Hengyi Industries) baru-baru ini mengadakan Program Jangkauan Pendidikan Hengyi Industries ke beberapa buah sekolah di negara ini.


Antaranya ialah Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajjah Mariam pada 30 Julai 2024, Sekolah St. Andrew dan Maktab Sultan Omar 'Ali Saifuddien (SOAS) pada 1 Ogos 2024.


Program ini bertujuan untuk memperkenalkan pelajar kepada Hengyi Industries dan dunia dinamik industri petrokimia, peluang biasiswa dan kerjaya yang ditawarkan melalui program biasiswa bersama serta pelan pengurusan alam sekitar yang dilaksanakan untuk melindungi alam sekitar di Pulau Muara Besar.


Sekitar 400 pelajar dari Tahun 9,10 dan 11 menyertai Program Jangkauan Pendidikan. Dalam sesi pembentangan, para pelajar telah dikongsikan mengenai pengenalan tentang Kumpulan Hengyi dan operasinya.


Mereka mendapat peluang untuk mempelajari tentang transformasi Pulau Muara Besar kepada kompleks petrokimia, termasuk gambaran keseluruhan Fasa I dan ciri-ciri kilang penapisan dan rangkaian pelbagai produk halus yang dikeluarkan oleh Hengyi Industries.


Sesi itu juga mengetengahkan sumbangan besar Hengyi Industries kepada ekonomi pada 2023 dan jumlah bekalan produk bahan api ke pasaran tempatan, bersama-sama dengan pelbagai inisiatif oleh syarikat untuk menyokong pembangunan sosial.


Salah satu sorotan utama ialah program biasiswa yang ditawarkan oleh Hengyi Industries, mempamerkan pelbagai kursus dan peluang pendidikan yang boleh diambil oleh pelajar.


Pelbagai laluan kerjaya yang menarik juga ditunjukkan kepada pelajar, memberikan mereka pandangan tentang laluan berbeza yang boleh mereka tempuhi selepas tamat pengajian.


Pembentangan itu juga mempamerkan pelan pengurusan alam sekitar Hengyi Industries, yang merangkumi langkah-langkah untuk memantau dan mengurangkan potensi kesan terhadap kualiti air dan udara, tapak ekologi di sekitar Pulau Muara Besar, dan tahap bunyi daripada operasi.


Selepas pembentangan, pelajar berpeluang untuk terlibat secara langsung dengan wakil Hengyi Industries semasa sesi soal jawab, di mana mereka boleh bertanya tentang butiran biasiswa dan peluang kerjaya.


Hengyi Industries merancang untuk meneruskan program ini di sekolah lain pada masa hadapan, bertujuan untuk memberi inspirasi dan menyediakan laluan untuk bakal pemimpin masa depan dalam industri petrokimia.


Close