Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Hernie Suliana Haji Othman, Azmah Haji Ahad, Alishahrin Haji Mumin
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 1 Ogos. - Alunan merdu bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada seramai 1,708 peserta khatam menyemarakkan lagi Majlis Khatam Al-Quran 78 Kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Penuntut-penuntut Sekolah dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Seluruh Negara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78 bagi Tahun 2024 yang berlangsung di Dewan Persantapan Diraja, Istana Nurul Iman.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat pada majlis berkenaan, hari ini.
Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah.
Juga berangkat, paduka-paduka adinda dan anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam serta kerabat diraja yang lain.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berserta kerabat diraja dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned selaku Penasihat-penasihat Bersama.
Turut menjunjung, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Juga menjunjung keberangkatan, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, selaku Pengerusi-pengerusi Bersama dan Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar, selaku Timbalan Pengerusi Bersama berserta isteri masing-masing.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan, diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran beramai-ramai oleh seramai 1,708 peserta Khatam Al-Quran.
Mengetuai dalam membaca surah lazim ialah pelajar Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR) Brunei Muara, Awangku Luqman 'Amri Al-Hakeem bin Pengiran Asmali, yang merupakan johan Ujian Kelayakan ke Peringkat Lanjutan dan pemenang tempat ketiga Pertandingan Tilawah Al-Quran Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Peringkat Akhir Tahun 2021 dan 2023.
Sementara itu, Doa Khatam dibacakan oleh pelajar STAR Brunei Muara, Jabatan Pengajian Islam, Muhammad Nurhidayatullah Al-Mu'min bin Awang Rossnan, yang merupakan johan Musabaqah Hafazan anjuran Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).
Acara kemudian diikuti bacaan Takhtim dan tahlil oleh pegawai-pegawai dan guru-guru agama dari Jabatan Pengajian Islam dan Jabatan Hal Ehwal Masjid.
Majlis diakhiri dengan Dikir Marhaban oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Masjid serta pegawai-pegawai dan guru-guru ugama perempuan dari Jabatan Pengajian Islam. Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.
Para peserta khatam terdiri daripada ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung di keempat-empat daerah iaitu kategori dewasa lelaki, dewasa wanita, belia dan beliawanis yang dipilih untuk mewakili mukim dan kampung termasuk penuntut-penuntut ITQSHHB, sekolah Arab dan STAR, kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur 12 tahun ke bawah yang mewakili sekolah-sekolah ugama Kementerian Hal Ehwal Ugama iaitu dari sekolah-sekolah Arab dan Al-Falah, sekolah-sekolah ugama, Skim Khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan STAR serta penuntut-penuntut sekolah di seluruh negara di bawah Kementerian Pendidikan dan institusi-institusi pengajian tinggi.
Majlis tersebut diadakan bagi memohon dan merafakkan doa kepada Allah Subhanahu Wata'ala semoga Kebawah DYMM dilanjutkan usia, sihat walafiat serta kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan hidayah dan petunjuk Allah Subhanahu Wata'ala.
Di samping itu, ia juga bagi menzahirkan kesyukuran rakyat dan penduduk negara ini kepada Allah atas limpah rahmat dan nikmat-Nya menjadikan Negara Brunei Darussalam di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah DYMM sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera.
Dalam masa yang sama, Majlis Khatam ini juga diadakan bagi mendukung hasrat Kebawah DYMM untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah Negara Zikir dengan rakyatnya celik Al-Quran, selain menyemai serta menyuburkan budaya membaca Al-Quran juga mengamalkan ajaran-ajarannya sebagai amalan harian untuk memohon keredaan Allah.
Selain pahala dan rahmat Allah yang diperoleh daripada membaca Al-Quran, penyertaan pada peringkat akar umbi dan orang ramai khususnya penuntut-penuntut sekolah adalah manifestasi ketaatan serta kesetiaan rakyat kepada raja, agama dan negara.