Kutipan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 dilanjutkan





Siaran Akhbar : Jabatan Pembangunan Masyarakat





 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 18 Julai. - Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, tempoh kutipan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 dilanjutkan sehingga 18 Oktober 2024 untuk orang ramai terus menyalurkan bantuan bagi meringankan kesengsaraan dan beban penderitaan penduduk Palestin yang terjejas di Gaza.

 

Kutipan keseluruhan dana tabung berkenaan setakat 18 Julai 2024 adalah sebanyak BND4,269,819.58.

 

Sebahagian daripada kutipan dana berjumlah BND1,399,545 telah digunakan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Palestin melalui 'air-drop' dalam bentuk paket makanan yang siap sedia untuk dimakan yang telah dilaksanakan pada 13 hingga 15 Mac 2024.

 

Oleh itu, baki tabung setakat 18 Julai 2024 adalah berjumlah BND2,870,274.58.

 

Jumlah kutipan terkumpul berkenaan adalah hasil sumbangan daripada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam (NBD) melalui SMS Brunei Prihatin, peti-peti tabung yang diletakkan di masjid, surau / balai ibadat, bangunan bank, gedung perniagaan dan bangunan awam dan kerajaan; serta aktiviti-aktiviti amal.

 

Jawatankuasa Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penderma di negara ini atas keprihatinan dan sumbangan derma yang telah dihulurkan kepada tabung berkenaan.

 

Orang ramai yang berhasrat untuk mengadakan kutipan derma bagi tabung berkenaan hendaklah memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) selaku Urus Setia Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023, jika hasil kutipan bersih (100 peratus) disumbangkan kepada tabung berkenaan.

 

Jika ada individu, persatuan dan agensi lain yang berdaftar ingin menderma sebahagian sahaja daripada hasil kutipan bersih yang diperoleh dari mengadakan aktiviti-aktiviti yang berbentuk hiburan awam, adalah disarankan untuk memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).

 

Selain itu, orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan juga boleh menderma secara dalam talian melalui akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), nombor akaun 00-001-01-0089051 (Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023) atau melalui perkhidmatan BIBD QuickPay dengan mengimbas kod QR yang boleh didapati di poster-poster dan pelekat-pelekat (sticker) Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023.

 

Peti-peti tabung juga disediakan di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat, bangunan bank-bank, gedung-gedung perniagaan dan bangunan-bangunan awam di seluruh negara.

 

Di samping itu, orang ramai juga boleh menghantar derma terus kepada Urus Setia Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 di Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, Tingkat 2, JAPEM, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan, NBD pada waktu pejabat.

 

Close